BANSKA BYSTRICA, 21 OKT – Sebuah mahkamah di Slovakia hari ini menjatuhkan hukuman penjara 21 tahun terhadap seorang lelaki bersenjata yang menembak Perdana Menteri Slovakia, Robert Fico, tahun lalu.
Juraj Cintula, seorang penyair berusia 72 tahun, menembak Fico, seorang pemimpin nasionalis, sebanyak empat kali dari jarak dekat pada 15 Mei 2024, menyebabkan beliau cedera parah.
Serangan itu berlaku selepas satu mesyuarat kerajaan di bandar perlombongan Handlova, di tengah Slovakia, ketika Fico keluar ke jalan untuk berjumpa para penyokongnya.
Cintula, yang ditahan di tempat kejadian, mengaku bahawa dia menembak Fico dengan niat untuk mencederakan, bukan membunuhnya.
Namun, mahkamah mendapati dia bersalah atas tuduhan ‘keganasan’ dan menjatuhkan hukuman penjara 21 tahun di penjara keselamatan maksimum.
“Cintula bertindak dengan niat untuk menggagalkan fungsi kerajaan yang sah,” kata hakim Igor Kralik ketika membacakan keputusan. “Mahkamah tidak ragu-ragu jenayah itu benar-benar dilakukan dan merupakan kesalahan yang amat serius,” tambahnya. – AFP


