Oleh Daniel Lim –

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret kelmarin atas pertuduhan curi membabitkan sebuah kenderaan di Berakas September lalu.
Mohammad Nazri bin Mohd Nordin dituduh mencuri kenderaan, dengan kesalahan yang berlaku sekitar jam 11 malam pada 29 September lalu di Kampung Madang, Jalan Utama Berakas, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Penggal 22.
Majistret, Dayang Syaffina binti Sharif memerintahkan defendan direman sehingga Sabtu ini (11 Oktober), berikutan permohonan pihak pendakwaan untuk membenarkan Pasukan Polis Diraja Brunei menjalankan siasatan lanjut.
Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Hanan Erwan mewakili pihak pendakwaan, dengan kes telah ditetapkan untuk sebutan lanjut pada 11 Oktober jam 2:30 petang.


