BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OKT – Pada 30 September, 1253 Kapten Muhammad Hanis bin Awang Masri, telah dinamakan dalam pertuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Jenayah, Penggal 22, di mahkamah di hadapan Majistret Abdul ‘Azim bin Othman, di mana defendan telah didakwa menyebabkan kematian si mati dengan cara mencekik.
Pada 28 September, pihak polis menerima panggilan kecemasan menerusi talian kecemasan polis 993 melaporkan bahawa mayat seorang wanita berumur 23 tahun telah ditemui di kediaman defendan di Berakas. Siasatan polis telah mengenal pasti si mati seorang warga Filipina, isteri kepada defendan.
Atas permohonan pihak pendakwaan, mahkamah memerintahkan defendan direman selama dua minggu bagi membolehkan Pasukan Polis Diraja Brunei menjalankan siasatan lanjut. Pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khalillah binti Haji Hussin.
Kes itu telah ditetapkan untuk sebutan lanjut pada 14 Oktober 2025.


