Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Feb – Seorang lelaki tempatan dihadapkan ke Mahkamah Perantaran, di sini, semalam, atas pertuduhan cuba melakukan rompakan, memiliki senjata berbahaya dan menyebabkan kecederaan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada Daud bin Haji Zainal, 52, yang didakwa cuba melakukan rompakan di sebuah
rumah di Kampung Perpindahan Mata-Mata pada 9 Februari 2017 sekitar jam 2:20 pagi.
Dalam kejadian, dia didakwa menyebabkan kecederaan terhadap pemilik rumah yang berusia 54 tahun dengan mengelar tangan kanannya menggunakan pisau pemotong dan juga menggigit lengan bawah mangsa.
Timbalan Pendakwa Raya, Dr. Mohammad Hussin Ali bin Idris mengemukakan dakwaan mengikut Seksyen 398 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang dibaca bersama Seksyen 394 yang membawa hukuman penjara dan sebatan.
Tertuduh juga menghadapi tuduhan menyebabkan kecederaan pada pergelangan tangan anak mangsa yang berusia 19 tahun, dengan pisau pemotong.
Dia didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang membawa penjara dan sebatan.
Hakim Radin Safiee bin Radin Mas Basiuni menetapkan 16 Februari 2017 untuk sebutan semula kes.