Khamis, November 20, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki tempatan ditahan, 355 karton rokok, minuman keras ditemui

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Seorang lelaki warga tempatan berumur 39 tahun ditahan selepas cuba melarikan diri daripada pihak Daerah Polis Temburong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam satu kejadian di Kampung Negalang, Temburong, baru-baru ini.

    Kejadian berlaku sekitar 7:30 malam ketika anggota polis menjalankan rondaan dan pemantauan di kawasan berkenaan sebelum sebuah kenderaan mencurigakan dikesan menuju ke Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien (SHOAS). Suspek enggan menghentikan kenderaan apabila diarahkan dan hanya berjaya ditahan di kawasan letak kereta Kampung Sungai Bunga, Bandar Seri Begawan.

    Suspek kemudian cuba melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran namun berjaya diberkas oleh pihak polis.

    Antara barang rampasan yang ditemui semasa pemeriksaan. – Gambar serahan PPDB

    Pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menemui beberapa kotak besar berisi barang tegahan. Siasatan lanjut mengesahkan rampasan melibatkan 24 botol dan 24 tin minuman keras, serta 355 karton dan satu paket rokok.

    Suspek bersama semua barang tegahan telah diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan dan siasatan selanjutnya.

    PPDB menyeru orang ramai menyalurkan maklumat mengenai kegiatan jenayah ke balai polis terdekat atau menghubungi Talian Kecemasan 993.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda