Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki tempatan ditahan, rokok dan cecair vape ditemui

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    TEMBURONG, 6 OGOS – Seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun berjaya ditahan selepas aksi kejar-mengejar oleh anggota dari Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) yang membawa kepada penemuan 759 karton rokok dan beberapa botol cecair rokok elektronik (vape).

    Insiden berkenaan berlaku semasa satu operasi pemantauan dan pencegahan jenayah yang dijalankan oleh anggota Balai Polis Bangar, kelmarin. Semasa rondaan di sekitar kawasan Bangar, pihak polis mengesan sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Lancer putih dalam keadaan mencurigakan yang menuju ke Kampung Labu.

    Cubaan untuk menahan kenderaan berkenaan gagal apabila pemandunya enggan berhenti, menyebabkan aksi kejar-mengejar berlaku di kawasan Jambatan Sultan Haji Omar Ali Saifuddien, sebelum kenderaan itu terbabas di tepi jalan kawasan Perpindahan Kampung Mentiri.

    Pemandu berkenaan cuba melarikan diri ke kawasan perumahan berdekatan namun berjaya ditahan oleh anggota polis selepas berlaku pergelutan.

    Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan tersebut membawa kepada penemuan beberapa plastik yang mengandungi rokok dan beberapa botol cecair rokok elektronik, dipercayai barangan tegahan.

    Suspek kini ditahan bagi siasatan lanjut, manakala barang rampasan telah diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED).

    PPDB dalam kenyataannya menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan mencurigakan atau menyalahi undang-undang melalui talian kecemasan 993 atau dengan membuat laporan ke mana-mana balai polis berhampiran.

    ATAS & BAWAH: Antara barang tegahan yang dirampas. – GAMBAR SERAHAN PPDB
    GAMBAR SERAHAN PPDB
    GAMBAR SERAHAN PPDB
    GAMBAR SERAHAN PPDB

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda