Sunday, November 17, 2024
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki tempatan maut dalam kemalangan di lebuh raya Telisai

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT – Seorang lelaki tempatan maut setelah terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori.

    Semasa kejadian berlaku, mangsa dipercayai berdiri di sebelah kenderaannya yang berhenti di bahu jalan lebuh raya di kawasan Telisai hala Kuala Belait di 38.2km.

    Balai Polis Sungai Liang, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mengesahkan satu kejadian kemalangan jalan raya telah berlaku tadi pagi.

    Menurut PPDB, Balai Polis Sungai Liang telah menerima panggilan kecemasan berkenaan melalui talian kecemasan 993 sekitar jam 10:30 pagi berhubung satu kejadian kemalangan maut yang berlaku.

    Sejurus maklumat diterima, pihak polis segera ke tempat kejadian dan hasil daripada siasatan awal mendapati insiden berkenaan telah melibatkan kemalangan sebuah kereta sedan milik mangsa dan sebuah lori.

    Ahli paramedik bertugas yang hadir membuat pemeriksaan turut mengesahkan bahawa pemandu yang terhumban telah meninggal dunia di tempat kejadian.

    Walau bagaimanapun, pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengetahui punca sebenar kemalangan dan kematian tersebut.

    Oleh yang demikian, dipohonkan kepada orang ramai dan saksi mata yang telah menyaksikan insiden kemalangan berkenaan untuk tampil ke mana-mana balai polis ataupun menghubungi talian kecemasan polis 993 bagi membantu siasatan.

    Di kesempatan ini, PPDB ingin menasihati kepada pengguna-pengguna jalan raya untuk sentiasa berhati-hati dan peka semasa memandu dan sentiasa menitikberatkan aspek-aspek keselamatan semasa berada di atas jalan raya.

    Lokasi kemalangan yang meragut nyawa pemandu tempatan di lebuh raya Telisai. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN PPDB

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda