Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MEI – Seorang lelaki tempatan berumur 40 tahun dilaporkan maut dalam satu kemalangan ketika sedang berjoging di kawasan Perumahan Lumut, Jalan Balingkawang, sekitar jam 8 malam, Selasa lalu.
Menurut kenyataan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), siasatan awal sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tragis berkenaan yang telah meragut nyawa mangsa.
PPDB dalam kenyataannya turut menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan insiden berkenaan agar tampil membantu siasatan dengan memberikan keterangan kepada pihak polis.
Dalam pada itu, PPDB menasihatkan semua pengguna jalan raya, khususnya pemandu, agar sentiasa berwaspada dan memberikan perhatian penuh ketika memandu, terutama di kawasan perumahan dan laluan berhampiran taman rekreasi yang kerap digunakan oleh pejalan kaki dan individu yang berjoging.
Langkah berjaga-jaga ini amat penting bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini serta menjamin keselamatan semua pihak.
