Thursday, February 6, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki tempatan mengaku salah tiga pertuduhan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JUN – Seorang lelaki tempatan yang didakwa melakukan pemerasan telah mengaku bersalah hari ini di Mahkamah Perantaraan atas ketiga-tiga pertuduhan.

    MohammadAmirulAzem bin Ibrahim, 35, mengaku melakukan kesalahan seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Siti Mu’izzah binti Haji Sabli kerana mengancam seorang wanita berusia 26 tahun dengan mendakwa bahawa dia menjumpai lipas pada aiskrim yang diperolehnya dari sebuah kedai lalu memeras ugut meminta bayaran sebanyak $100 daripada wanita itu pada pukul 9:15 malam, 4 Jun di sebuah bangunan komersial, Kampung Kiulap.

    Tuduhan kedua menyatakan bahawa tertuduh telah pergi menemui wanita yang sama di kedai berkenaan pada 5 Jun dan mengancam untuk mendedahkannya dan mendakwa bahawa anak perempuannya terpaksa mendapatkan rawatan perubatan setelah memakan ais krim yang mengandungi lipas di dalamnya dan memeras ugut dengan meminta bayaran sebanyak $150.

    Pada jam 2:53 petang 13 Jun, tuduhan ketiga menyatakan bahawa tertuduh telah pergi ke kedai itu sekali lagi dan mengancam seorang wanita berusia 22 tahun bahawa dia akan diberhentikan kerja dan memeras ugut dengan meminta bayaran sebanyak $100 daripada mangsa sebagai ganti untuk tidak memberitahu majikan mangsa.

    Hakim MuhammedFaisal bin PDJLD DSP Haji Kefli memutuskan tarikh 3 Ogos bagi menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda