Friday, November 15, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki tempatan, wanita Vietnam didakwa mengedar dadah

    KLUANG, 14 NOV – Seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga Vietnam didakwa di Mahkamah Majistret di Johor hari ini atas pertuduhan mengedar dadah methylenedioxymethamphetamine (MDMA) pada 3 November lepas.

    Lee Cia Ceh, 32, menjawab faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno manakala tiada jawapan direkodkan daripada warga Vietnam, Nguyen Thi Kim Van, 28, kerana tidak memahami pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Melayu terhadapnya.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Mengikut pertuduhan, Lee dan Nguyen bagi mencapai niat bersama telah mengedar dadah berbahaya disyaki jenis MDMA dengan anggaran berat kasar 1,473.8 gram di sebuah rumah di Taman Tasik Indah, Kluang pada jam 6:45 petang, 3 November lepas.

    Mereka dihukum mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah, jika tidak dihukum mati, disebat tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Siti Nurfara Fazilun Izylin Ahmad tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes dihadapi tertuduh tidak boleh dijamin.

    Mahkamah menetapkan 26 November nanti untuk pertuduhan dibacakan semula oleh jurubahasa Vietnam manakala 9 Januari tahun hadapan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula untuk serahan dokumen dan laporan kimia. – Bernama

    Lee Cia Ceh, 32, didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan mengedar dadah MDMA pada 3 November lepas. – Bernama
    Warga Vietnam Nguyen Thi Kim Van, 28, (kanan) didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan mengedar dadah MDMA pada 3 November lepas. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda