Wednesday, December 25, 2024
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki temui beruang berbaring di ruang tamu

    TOKYO, 24 DIS – Seorang lelaki di kawasan luar bandar Jepun menemui seekor beruang berbaring dengan santai di ruang tamunya, lapor media tempatan hari ini, ketika kerajaan bersedia untuk melonggarkan undang-undang untuk menembak haiwan tersebut.

    Menurut laporan, seorang lelaki di wilayah Fukushima yang dilanda salji pada malam kelmarin mendapati seekor beruang sedang berbaring di bawah kotatsu iaitu sebuah meja rendah yang dilengkapi elemen pemanas dan selimut di sekelilingnya yang biasa ditemui di rumah-rumah Jepun.

    “Saya pulang dari kerja dan mendapati beruang dengan kepalanya tersembunyi di bawah kotatsu,” kata lelaki itu. Beruang tersebut dikatakan berukuran sekitar 90 sentimeter panjangnya.

    Lelaki yang berusia 60an dan tinggal seorang diri itu segera melarikan diri ke rumah jiran dan menelefon polis sebelum kembali selepas lebih satu jam dan menemui beruang tersebut dan makanannya berselerak.

    Polis menasihatkan penduduk sekitar untuk mengosongkan kawasan atau mengunci pintu mereka, menurut laporan Kyodo News. Tiada kecederaan dilaporkan.

    Gambar Freepik

    Penyiar awam NHK melaporkan tengah hari tadi bahawa beruang tersebut masih berada di dalam rumah, sambil menunjukkan rakaman polis di kawasan rumah yang dikelilingi pokok-pokok tinggi dan salji tebal.

    Kejadian itu adalah yang terbaharu dalam siri pertembungan manusia dengan beruang yang telah berlaku dalam beberapa tahun kebelakangan ini, mendorong kerajaan Jepun mencadangkan kelonggaran sekatan bagi menembak haiwan berkenaan.

    Pelan yang dijangka berkuat kuasa tahun depan, akan memberi kuasa kepada kerajaan tempatan untuk membenarkan pemburu melakukan ‘tembakan kecemasan’ walaupun di kawasan yang lebih padat penduduknya.

    Pakar-pakar menyatakan jumlah populasi manusia yang menurun di kawasan luar bandar Jepun menyebabkan beruang yang kelaparan semakin mendekati bandar.

    Faktor-faktor lain termasuk perubahan iklim yang memberi kesan kepada bekalan makanan dan waktu hibernasi beruang. Musim panas tahun ini adalah yang paling panas pernah dicatat Jepun. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda