Insiden penyanyi dan pelakon Ariana Grande diserang oleh seorang lelaki ketika majlis tayangan filem Wicked: For Good di Singapura kelmarin menjadi bualan ramai, termasuk luahan kurang senang terhadap tindakan sebegitu.
Biarpun berdepan kecaman teruk, lelaki yang dikenali sebagai Johnson Wen itu bagaimanapun dengan rasa bangga berkongsi bahawa dia kini dibebaskan selepas melakukan kekecohan pada acara berkenaan.
“Saya telah dibebaskan selepas ditahan,” tulisnya di Instastory berserta video seakan-akan tidak menunjukkan rasa bersalah.
Malah Johnson juga sebelum itu memuat naik sendiri rakaman dia secara sengaja menyerang Ariana yang sedang berjalan di acara karpet merah filem berkenaan bersama barisan pelakon lain.
Menerusi hantaran berkenaan, dia sendiri mengucapkan ‘terima kasih’ kepada pelakon utama filem itu kerana didakwa membenarkan tindakan luar kawalan tersebut.
“Wahai Ariana Grande, terima kasih kerana beri peluang kepada saya menderu masuk ke karpet merah bersamamu,” ujarnya.
Perkongsian tersebut pastinya menimbulkan rasa marah dalam kalangan peminat yang risau akan keselamatan Ariana.
Malah ada juga yang bengang kerana Johnson telah mencemarkan kemeriahan majlis berkenaan. Lebih mengejutkan lagi, ini bukan pertama kali dia melakukan tindakan luar kawalan terhadap artis terkenal.
Jun lalu, dia melakukan perkara sama apabila secara tiba-tiba naik ke atas pentas dalam konsert penyanyi Katy Perry di Sydney, Australia. Tahun lalu pula, dia pernah dikenakan bayaran denda gara-gara menyerang konsert The Weeknd.
Malah Johnson juga pernah membuat kecoh di Sukan Olimpik Paris 2024 ketika acara 100 meter lelaki.
Menerusi pemerhatian, Johson sengaja menjadikan tindakannya itu sebagai satu kandungan di media sosial untuk menarik perhatian ramai. – Agensi


