Saturday, July 12, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki tertinggal isteri di stesen minyak

    PARIS, 10 JULAI – Seorang lelaki berusia 62 tahun di Perancis menghubungi pihak polis untuk melaporkan bahawa dia telah terlupa membawa isterinya yang ditinggalkan di sebuah stesen minyak di lebuh raya dan tidak dapat mengingati lokasi sebenar.

    Menurut laporan Oddity Central, dalam kejadian 5 Julai lalu, pasangan dari Paris itu bertolak ke Maghribi bersama seorang anak perempuan mereka untuk bercuti. Mereka telah berhenti di beberapa stesen minyak sepanjang perjalanan, namun dalam salah satu perhentian tersebut, berlaku kejadian luar biasa.

    Sekitar jam 4:30 pagi, lelaki berkenaan meninggalkan stesen minyak tanpa menyedari bahawa isterinya tidak berada di dalam kereta. Dia hanya menyedari kesilapan itu setelah memandu sejauh 300 kilometer (km), lalu segera menghubungi perkhidmatan kecemasan untuk mendapatkan bantuan.

    Namun, keadaan menjadi sukar apabila si suami tidak pasti stesen minyak yang mana tempat isterinya ditinggalkan.

    Keadaan semakin rumit apabila anak mereka yang berumur 22 tahun juga tidak dapat membantu kerana dia tidur sepanjang perjalanan.

    Walaupun pihak polis memeriksa beberapa kawasan rehat sepanjang lebuh raya, mereka masih gagal mengesan wanita berkenaan. Pihak berkuasa mula mengesyaki bahawa lelaki berkenaan mungkin telah meninggalkan isterinya dengan sengaja.

    Usaha polis akhirnya berjaya apabila mangsa ditemukan dengan bantuan pengendali perkhidmatan telefon bimbit menerusi pengesanan lokasi.

    Wanita berkenaan berada di sebuah kawasan rehat di Deux-Sevres dan tidak bergerak ke mana-mana sejak pukul 4:30 pagi kerana menanti suami untuk datang mengambilnya.

    Selepas siasatan ringkas dijalankan, pihak polis mendapati bahawa suaminya benar-benar terlupa dan tidak berniat jahat. Mereka sekeluarga kemudiannya disatukan semula dan dibenarkan meneruskan perjalanan ke Maghribi seperti yang dirancang. – Agensi

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda