BANGKOK, 15 MEI – Polis Thailand telah menahan seorang lelaki yang disyaki menyeludup dua anak orang utan ke negara itu, menurut kenyataan hari ini, dalam satu kes yang dikaitkan dengan rangkaian pemerdagangan hidupan liar antarabangsa.
Suspek berusia 47 tahun itu ditahan pada petang kelmarin di sebuah stesen minyak di kawasan perumahan di Bangkok ketika sedang bersiap untuk menyerahkan haiwan tersebut kepada seorang pelanggan, kata polis dalam satu kenyataan.
Dua anak orang utan – seekor berusia sekitar setahun dan seekor lagi baru berusia sebulan – ditemui dalam sebuah bakul plastik lengkap memakai lampin dan botol susu di sebelah haiwan itu, menurut gambar yang dikeluarkan oleh polis.
Penahanan itu dibuat hasil siasatan bersama dengan Perkhidmatan Perikanan dan Hidupan Liar Amerika Syarikat serta Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC).
Orang utan yang berasal dari Borneo dan Sumatera diklasifikasikan sebagai Spesies Terancam Kritikal dalam Senarai Merah IUCN dan dilindungi di bawah perjanjian CITES dan merupakan antara primat yang paling banyak diperdagangkan di dunia.
Polis Thailand berkata haiwan itu dipercayai telah dijual dengan harga sekitar 300,000 baht setiap seekor. – AFP
