TOKYO, 19 DIS – Seorang lelaki ditahan hari ini atas kejadian menikam maut seorang pelajar sekolah rendah dan mencederakan seorang lagi di sebuah restoran McDonald’s di barat daya Jepun, lapor media tempatan.
Kedua-dua mangsa berkenaan berada dalam barisan untuk memesan makanan pada kira-kira jam 8:30 malam pada Sabtu lalu apabila penyerang dilaporkan memasuki restoran di bandar Kitakyushu dan terus kata menikam mereka berdua tanpa berkata apa-apa.
Polis telah menahan seorang lelaki berusia 40-an yang tinggal berdekatan, lapor penyiar awam NHK dan media lain. Pegawai tidak dapat segera mengesahkan laporan kepada AFP.
Sekolah yang dihadiri mangsa itu ditutup pada hari Isnin dan beberapa penduduk memberitahu media tempatan mereka takut keluar selepas serangan itu, yang mungkin berlaku secara rawak.
Pada 2019, dua orang termasuk seorang pelajar sekolah mati ditikam dan lebih sedozen cedera di Kawasaki, Jepun apabila seorang penyerang mengamuk dan menyasarkan kanak-kanak yang sedang menunggu bas.
Penyerang berusia 51 tahun dalam kejadian berkenaan turut menikam dirinya sendiri. – AFP


