Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki tiru latihan One Punch Man berjaya ubah kehidupan

    SHANDONG, 26 OGOS – Seorang penternak ikan yang mengalami kegagalan di China telah mendapat inspirasi dalam komik manga Jepun, One Punch Man berjaya mengubah hidupnya selepas 1,000 hari menjalani latihan fizikal yang sukar.

    Menurut laporan Oddity Central, Li Shuanyong dari keluarga miskin di luar bandar Shandong, telah mencapai titik terendah dalam kehidupannya pada 2021 apabila perniagaan penternakan ikannya gagal. Perkahwinannya juga gagal tidak lama selepas itu, dan dia terpaksa menanggung hutang yang terkumpul.

    Mengimbas kembali, Li menyifatkan dirinya sebagai ‘orang paling gagal dalam kehidupan’ dengan kerap menghabiskan hari-harinya mengasingkan diri dan mengembara tanpa tujuan.

    Pada ketika itu, dia terjumpa komik One Punch Man, manga Jepun popular yang watak utamanya, Saitama bermula sebagai lelaki biasa yang bergelut untuk membayar sewa apartmen lusuhnya berubah untuk menjadi lelaki terkuat di dunia selepas menjalani latihan teruk selama tiga tahun.

    Li Shuangyong sangat diilhamkan oleh latihan Saitama iaitu 100 tekan tubi, 100 sit-up, 100 ketuk ketampi dan larian 10 kilometer setiap hari yang telah mengubah kehidupan Saitama lalu menjadi ikutan Li.

    “Saya terpaksa menyelamatkan diri saya. Saya tidak boleh terus hidup seperti itu. Ia tidak boleh menjadi lebih teruk lagi,” kata Li baru-baru ini.

    Li sedar bahawa cuba meniru watak manga tersebut dalam kehidupan sebenar tidak mudah untuk dilakukan, terutamanya bagi seseorang yang tidak pernah melalui latihan fizikal sedemikian dan juga tidak mempunyai wang.

    Dia akan berpeluh dengan banyak dan lengannya akan mula menggeletar selepas hanya beberapa tekan tubi serta larian beberapa kilometer sahaja terasa amat meletihkan.

    Namun, dia menyiarkan video latihan hariannya di media sosial sebagai cara mendokumentasikan kemajuannya.

    Kebanyakan video awalnya tidak mendapat banyak tontonan kerana ia hampir sama setiap hari. Kebanyakan orang menyangka dia gila dan akan berputus asa setelah melalui penyeksaan sedemikian hari-hari.

    Tetapi masa berlalu dan perubahan fizikalnya telah menjadi sangat ketara, orang ramai mula memberi lebih perhatian kepada Saitama versi kehidupan sebenar dari China tersebut. Berlari sejauh 10km kini menjadi lebih mudah baginya, sehinggakan pada hari-hari tertentu, dia sengaja melakukan beberapa larian hanya untuk menikmati kehebatannya.

    Dia juga merakamkan dirinya berlari sejauh 100km, yang telah berjaya menarik beribu-ribu peminat dalam talian. Orang ramai mula mencarinya untuk berlatih bersamanya, dan kumpulan peminat di Taiwan juga menyiarkan secara langsung lariannya serta turut berlatih dengannya secara dalam talian. Secara tiba-tiba, dia menjadi bintang yang memberi inspirasi.

    Bulan lalu, Li Shuangyong meraikan 1,000 hari latihan fizikal dengan mempamerkan fizikalnya yang mantap dan memberi penghormatan kepada manga yang memberi inspirasi kepada transformasi kehidupannya dengan mencukur kepalanya dan bergambar dalam kostum adiwira ikonik One Punch Man.

    Li Shuangyong meraikan 1,000 hari latihan fizikal dengan mengubah penampilan menyerupai watak adiwira ikonik One Punch Man. – Oddity Central

    Dia turut memberitahu peminatnya bahawa sepanjang 1,000 hari lepas, dia telah berlari lebih 20,000 km dan melakukan beberapa senaman fizikal berjuta-juta kali.

    Tetapi kisah inspirasi Li masih belum berakhir. Selepas mencipta nama sebagai One Punch Man sebenar, lelaki berusia 39 tahun itu mahu mencipta Rekod Dunia Guinness baharu dengan berlari maraton setiap hari selama setahun penuh.

    Bagaimanapun, dia memberi amaran kepada peminat-peminatnya supaya tidak meniru latihannya secara membabi buta kerana latihannya bukan untuk semua orang dan boleh membawa kecederaan yang serius.

    Perjalanan transformasi kehidupan Li selama 1,000 hari turut mendapat perhatian penulis One Punch Man, yang memberi penghormatan kepadanya di X (Twitter) dengan menulis, “Semangat awda luar biasa! Tahniah.” – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda