Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Lelaki tempatan berusia 46 tahun yang menumbuk dinding di COVID-19 Holding Area Mahad (CHAM) di Mahad Islam Brunei, Tutong hari ini didakwa di Mahkamah Majistrest kerana menyebabkan kerosakan.
Tertuduh Mohd Amin bin Haji Suhaili juga menggunakan kekerasan terhadap seorang anggota tentera yang bertugas di pusat itu dan kejadian itu juga tular di media sosial minggu lalu.
Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Pengiran Norsuzanawati binti Pengiran Haji Abas membawa hukuman maksimum penjara 5 tahun dan sebatan dengan tidak kurang daripada dua kali sebatan dan hukuman minimum penjara 1 tahun dan denda.
Majistret Kanan Azrimah Abdul Rahman bagaimanapun menangguhkan kes itu sehingga 6 Oktober untuk memberi laluan kepada pihak polis menyelesaikan siasatan.
Sehubungan itu, Pejabat Peguam Negara menggesa orang ramai terus memberi kerjasama dengan Kementerian Kesihatan dalam usaha menangani gelombang kedua wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam dan mengingatkan orang ramai bahawa segala ancaman atau kekerasan dilakukan terhadap kakitangan Kementerian Kesihatan dan para petugas barisan hadapan serta menyebabkan kerosakan pada harta benda kerajaan tidak akan ditoleransi dan akan didakwa di bawah Kanun Keseksaan, Bab 22.