Wednesday, January 22, 2025
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki, wanita ditahan miliki senjata api tiruan

    SIBU, 21 JAN – Seorang wanita dan lelaki dalam lingkungan umur 25 hingga 29 tahun ditahan di kedai mainan di sebuah pusat beli-belah di sini kerana memiliki senjata api tiruan semalam.

    Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata sebanyak 25 pucuk pistol tiruan dan 35 laras raifal tiruan dirampas dalam Op Laras oleh sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sibu kira-kira pukul 2:30 petang.

    “Op Laras telah dijalankan serentak di seluruh Sarawak kerana terdapat aduan serta maklumat wujudnya aktiviti menjual senjata api tiruan kepada orang awam,” katanya kepada pemberita hari ini dan menambah kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.

    Zulkipli berkata perbuatan memiliki, membeli atau menjual apa-apa bentuk senjata api tiruan merupakan satu kesalahan jenayah walau atas apa alasan sekalipun.

    Sabit kesalahan katanya, boleh dihukum penjara tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

    Pihak polis juga menyeru kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penjualan senjata api tiruan untuk menghubungi terus mana-mana balai polis yang berdekatan untuk diambil tindakan selanjutnya. – Bernama

    Gambar Canva
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda