HONG KONG, 1 NOV – Pihak berkuasa Hong Kong kelmarin mendakwa seorang lelaki warga asing membunuh seorang wanita Asia Tenggara berusia 25 tahun, di mana mayatnya ditemui di kawasan air terjun.
Wanita itu ditemui di dalam kolam di Waterfall Bay Park Isnin lalu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, di mana polis kemudian berkata dia mengalami luka di kepala.
Mangsa merupakan pembantu rumah yang tidak bekerja dengan suspek, kata polis.
Seorang lelaki warga asing berusia 34 tahun ditahan sehari kemudian bersama isterinya, 36 tahun dari Hong Kong, ketika mereka pulang dari tanah besar China.
Menurut South China Morning Post Hong Kong, lelaki itu dikenal pasti sebagai ahli perniagaan British. Konsulat British tidak segera menjawab pertanyaan AFP mengenai kes itu.
Kematian wanita itu diklasifikasikan sebagai pembunuhan kerana tiada bukti menunjukkan ia berlaku secara semula jadi, kata ketua polis China, Sin Kwok-ming, kepada pemberita.
Pemeriksaan bedah siasat awal mengesan kecederaan di kepalanya dan punca kematian adalah disebabkan sesak nafas akibat lemas, tambah polis.
Polis berkata, kedua-dua suspek pergi ke air terjun itu bersama-sama Ahad lalu tetapi selepas setengah jam lelaki itu pergi bersendirian.
Dia tidak menghubungi polis dan segera meninggalkan Hong Kong, yang disifatkan oleh penguasa Sin sebagai tindakan tidak munasabah.
Pihak berkuasa berkata. suspek lelaki itu yang sepatutnya dihadapkan ke mahkamah hari ini, memegang kad pengenalan Hong Kong tetapi tidak menyatakan nama atau kewarganegaraannya. – AFP