Sunday, March 16, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki warga asing didenda $200

    Oleh Sim Y.H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 APRIL – Seorang lelaki warga asing telah dikenakan denda kompaun berjumlah $200 oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria (JBKBS) bagi kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil, Penggal 30.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBKBS, di sini, lelaki berkenaan telah didapati membuang puntung rokok di tempat awam dan diberikan tempoh selama tujuh hari untuk menjelaskan denda, jika didapati gagal, boleh didakwa di mahkamah.

    Jabatan berkenaan menyatakan lagi bahawa di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil, Penggal 30 Pindaan Baharu 2021, kesalahan membuang sampah atau sebarang kotoran di tempat awam jika didapati bersalah boleh dikenakan denda kompaun tidak melebihi $1,000 bagi kesalahan pertama dan tidak melebihi $3,000 bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan denda tidak kurang $3,000 dan tidak melebihi $9,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan individu.

    Manakala itu, bagi badan-badan lain atau syarikat yang melakukan kesalahan di bawah bab yang sama boleh dikenakan denda kompaun tidak melebihi $2,000 bagi kesalahan pertama dan tidak melebihi $10,000 bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan denda tidak kurang $10,000 dan tidak melebihi $30,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

    JBKBS mengingatkan orang ramai dan syarikat-syarikat supaya membuang sampah di tempat-tempat yang disediakan dan tidak meninggalkan sebarang jenis sampah di tempat-tempat awam bagi menjaga kebersihan alam sekitar.

    Para pengusaha restoran dan kedai-kedai makan dinasihatkan supaya menjaga kebersihan perangkap minyak tidak membiarkan pencemaran yang boleh menyebabkan longkang kotor dan berbau.

    Bahagian Penguatkuasaan JBKBS juga akan sentiasa membuat pemantauan dan rondaan dan akan mengenakan denda kompaun kepada mana-mana individu atau syarikat yang membuang sampah di tempat awam, termasuk membuang sampah di tempat pusat pembuangan sampah yang hanya dikhaskan untuk penyewa, peniaga atau penjaja di bangunan komersil kerajaan seperti Bangunan Pasarneka Kuala Belait dan Gerai Bunga Simpur.

    Bagi sebarang aduan mengenai pembuangan sampah di tempat-tempat awam di Kuala Belait dan Seria, bolehlah menghubungi Bahagian Penguatkuasaan JBKBS di talian 3330789 atau 3330780 sambungan 215.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda