Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki warga Pakistan maut dihempap pokok tumbang, tiga cedera

    SIBU, 18 JULAI – Seorang lelaki warga Pakistan maut selepas dihempap pokok tumbang ketika menunggang motosikal dalam kejadian ribut di jalan utama Kampung Penat, Oya, kira-kira 170 kilometer, malam kelmarin.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mangsa dikenali sebagai Muhammad Ishaq, 43, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.

    Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada 9:04 malam.

    “Pasukan keluaran operasi (PKO) bertindak memotong dan membersihkan pokok sebelum mengalihkan mangsa ke tempat selamat, seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” kata jurucakap itu dalam kenyataan malam tadi. Operasi tamat telah pada 10:05 malam.

    Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Kilometer 12.8, Rumah Inyang, Sungai Ranan, Kanowit, tiga individu cedera ringan selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka dihempap pokok tumbang, malam kelmarin.

    Gambar Freepik

    Jurucakap sama berkata pihaknya telah menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 9:03 malam dan anggota dari BBP Kanowit digerakkan ke lokasi sejauh lapan kilometer.

    “Sebaik tiba, terdapat dua mangsa, iaitu seorang wanita berusia 33 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun masih terperangkap dalam kenderaan.

    “Seorang lagi mangsa, remaja lelaki berusia 14 tahun berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba, dan dihantar ke Hospital Kanowit,” katanya.

    Beliau berkata kedua-dua mangsa yang terperangkap berjaya dikeluarkan dan hanya mengalami kecederaan ringan sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans.

    Operasi pemotongan dan pembersihan di lokasi tamat pada 10:22 malam. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda