QUETTA, 6 JAN – Seorang ‘doktor’ berusia 52 tahun di Pakistan baru-baru ini menjadi tajuk berita kerana menyambut kelahiran anaknya yang ke-60 dan mendakwa dia mahu mempunyai lebih ramai anak lagi bersama tiga isterinya.
Menurut laporan Oddity Central, Sardar Jan Mohammad Khan Khilji, penduduk Quetta, di ibu kota Balochistan, memiliki satu keluarga besar yang diharapkannya untuk terus berkembang di tahun yang mendatang.
Doktor asal Pakistan itu, yang menguruskan kliniknya sendiri di bandar tersebut, mempunyai tiga orang isteri, dan baru sahaja menyambut kelahiran anak damit lelaki ke-60, yang dinamakannya Khushal.
Mempunyai anak seramai itu lebih daripada mencukupi untuk kebanyakan orang, tetapi Sardar berkata dia mahu menambah satu isteri lagi dan terus menambah anak.
“Saya bertanya kepada semua sahabat saya untuk mencarikan seorang wanita muda bagi perkahwinan keempat saya,” kata Sardar Jan Mohammad Khan Khilji kepada BBC, tambahnya dia mahu mempunyai lebih ramai anak lelaki dan perempuan dengan semua isterinya.
Menariknya, Khilji pada mulanya menjadi tajuk berita antarabangsa pada 2016, tidak lama selepas kelahiran anaknya yang ke-35. – Agensi


