KANAZAWA, JEPUN, 10 JAN – Enam pek cendawan shiitake dari kawasan Noto yang terjejas bencana mencatat harga rekod sebanyak 350,000 yen (AS$2,200) pada lelongan pertama tahun ini di tengah Jepun kelmarin, lapor agensi berita Kyodo.
Jualan cendawan shiitake ‘Nototemari’ itu disambut dengan sorakan dan tepukan dari peserta lelongan di Kanazawa, ibu negeri Wilayah Ishikawa, yang mana Semenanjung Noto terus meneruskan usaha pemulihannya selepas dua bencana alam pada tahun lalu – gempa bumi kuat pada Hari Tahun Baharu dan hujan lebat yang mencatat rekod pada bulan September.
Menurut badan yang dibentuk oleh pengeluar tempatan, cendawan dari empat daerah di kawasan tersebut, termasuk Wajima yang paling terjejas, mesti memenuhi kriteria untuk dihantar sebagai Nototemari, iaitu mempunyai tudung dengan lebar sekurang-kurangnya lapan sentimeter dan ketebalan tiga sentimeter.
Cendawan itu dikenali dengan aroma dan tekstur kenyal yang menyenangkan. – Bernama