Lelong diri untuk elak kemiskinan

KANO, 29 OKT – Polis agama Islam di utara Nigeria menahan seorang lelaki yang melelong dirinya bagi membebaskan diri daripada belenggu kemiskinan.

Aliyu Idris, 26, ditahan pada Selasa oleh polis selepas tersiar gambarnya di media sosial memegang pelekat menunjukkan tawaran lelong pada harga 20 juta naira. Kano adalah antara 12 negeri di utara Nigeria yang majoriti penduduknya beragama Islam, dengan undang-undang syariah dikuatkuasakan bersama undang-undang sivil.

“Kami menahannya kerana melelong diri sendiri iaitu diharamkan di bawah undang-undang Islam.

“Dia kini berada di bawah jagaan kami,” kata Lawal Ibrahim Fagge, jurucakap polis agama Islam (Hisbah) yang menyifatkan tindakan pemuda itu akibat kemiskinan dan kejahilan.

Fagge berkata Hisbah turut menjalani penilaian mental dan mendapati lelaki berkenaan dalam keadaan waras. Jelasnya, Idris meninggalkan kampung halaman dan berpindah ke Kano untuk mencari pekerjaan tetapi gagal. – AFP