NEW YORK, 6 MAC – Rumah lelongan terkenal, Christie, mengakhiri lelongan seni pertamanya yang dibuat menggunakan kecerdasan buatan (AI) dengan keputusan bercampur-baur, sekali gus meninggalkan persoalan mengenai masa depan medium baharu yang kontroversi itu.
Sepanjang lelongan dalam talian selama 14 hari itu, sebanyak 14 daripada 34 lot yang ditawarkan gagal menarik bidaan yang mencukupi atau terjual di bawah anggaran minimum Christie.
Bagaimanapun, satu karya mencatat harga lebih tinggi daripada jangkaan.
Animasi berjudul Machine Hallucinations ISS Dreams A hasil ciptaan artis digital terkenal, Refik Anadol, berjaya dilelong pada harga AS$277,200, menjadikannya item termahal dalam lelongan tersebut.
Sebaliknya, karya Emerging Faces oleh artis Amerika Syarikat (AS), Pindar Van Arman, yang dijangka menjadi tumpuan utama, gagal menerima sebarang bidaan.
Karya oleh mendiang Charles Csuri, pelopor seni komputer, pula hanya meraih AS$50,400, sedikit di bawah harga minimum yang ditetapkan rumah lelong itu.
Secara keseluruhan, lelongan itu merekodkan jumlah jualan sebanyak AS$728,784, menurut Christie. – AFP
