Monday, May 12, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelongan termahal beg tangan

    HONG KONG, 31 Mei – Sebuah beg tangan Hermes bertatahkan berlian diperbuat daripada kulit buaya dan dihiasi emas putih telah memecahkan rekod jualan paling tinggi di dunia dalam lelongan, dengan harga AS$380,000 di Hong Kong.

    Menurut jurucakap rumah lelongan Christie, beg tangan Himalaya Niloticus Crocodile Diamond Birkin 30 yang jarang ditemui itu dibeli oleh seorang pembida melalui telefon yang tidak dikenali hari ini dengan harga HK$2.94 juta selepas pembidaan sengit.

    Rekod terbaru itu mengatasi harga lelongan tertinggi tahun lalu, juga di Hong Kong, bagi beg tangan yang hampir serupa dan dijual pad harga HK$2.32 juta.

    Hanya satu atau dua beg tangan Diamond Himalaya diperbuat setiap tahun di dunia, menjadikan ia sebagai beg tangan paling sedikit yang dikeluarkan, menurut Christie.

    “Sebenarnya terdapat khabar angin bahawa mereka mungkin tidak akan mengeluarkan lagi beg tangan Himalaya tahun ini dan ini mungkin antara sebab nilainya meningkat begitu tinggi pada musim ini,” kata ketua bahagian beg tangan dan aksesori Christie International, Matthew Rubinger memberitahu AFP.

    Beg-beg tangan rekaan semakin dilihat sebagai peluang pelaburan dan telah menjadi satu kegilaan dalam kalangan pengumpul-pengumpul, berpusu-pusu menyertai lelongan dunia serta melonjakkan harga dengan begitu ketara.

    Beg tangan buatan tangan – disifatkan oleh pelelong berpangkalan di London itu sebagai ‘beg tangan paling diminati’ – dihiasi dengan berlian manakala pengancing dan kunci mini simbol Hermes diperbuat daripada emas putih 18 karat.

    Beg tangan tersebut diperbuat pada 2014 dan dari siri ‘Birkin’ Hermes mengambil sempena nama penyanyi dan pelakon Jane Birkin, yang dilahirkan di Britain dan menetap di Perancis. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda