MADRID, 31 Julai – Pemain tengah Perancis, Thomas Lemar, mahu menjulang trofi Liga Juara-Juara dalam musim pertamanya di Atletico Madrid, di mana kelab Sepanyol itu dijangka menjadi hos final itu tahun depan.
“Saya akan memberikan segala-galanya utnuk mara lebih jauh dan memenangi Liga Juara-Juara,” kata Lemar ketika didedahkan sebagai pemain Atletico susulan ketibaannya dari Monaco.
Pemain berusia 22 tahun itu, yang merupakan sebahagian daripada skuad Perancis memenangi Piala Dunia, menyertai Atletico dengan perjanjian bernilai 72 juta euro (AS$84 juta) selepas tiga musim di Monaco.
Lemar berkata dengan kehadiran rakan antarabangsanya, Antoine Griezmann dan Lucas Hernandez di Wanda Metropolitano telah memainkan peranan penting dalam keputusannya untuk berpindah ke Atletico.

“Antoine dan Lucas banyak memberitahu saya mengenai kelab ini. Saya sangat gembira dengan keputusan yang saya buat,” kata Lemar, yang akan menyarung jersi 11 bagi skuad Diego Simeone.
“Saya tahu pasukan ini mahukan kerja keras dan saya akan memberikan segala-galanya untuk pasukan. Jika saya perlu berlari lebih kerap, saya akan melakukannya tanpa masalah.”
Lemar hanya bermain dalam satu daripada tujuh perlawanan Perancis di Piala Dunia, sebagai kesebelasan utama dalam pasukan yang seri 0-0 dengan Denmark dalam peringkat kumpulan, dan sudah mula berlatih selepas rehat sekejap.
“Saya tidak sabar untuk bermula dengan kelab baharu saya, mengenali kakitangan dan rakan sepasukan serta penyokong baharu.” – AFP