Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lembaga pengarah perlu miliki wawasan strategik, integriti etika

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JUN – Peranan lembaga pengarah syarikat kini mengalami perubahan besar akibat persekitaran global yang semakin kompleks dipengaruhi oleh perubahan geopolitik, pendigitalan pesat dan tuntutan terhadap kelestarian yang semakin meningkat.

    Tadbir urus korporat masa kini tidak lagi terbatas kepada pemantauan dan pematuhan peraturan semata-mata, tetapi telah berkembang menjadi kepimpinan strategik.

    Perkara tersebut ditekankan oleh Pengarah Urusan, Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), Hajah Rashidah binti Haji Sabtu, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Kepimpinan dan Kewangan Islam Brunei (BILIF) dalam ucapannya semasa Forum Tadbir Urus Korporat 2025, yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

    Menurutnya, berdasarkan Tinjauan Pematuhan Global PwC 2025, sebanyak 85 peratus eksekutif melaporkan peningkatan ketara dalam kerumitan keperluan pematuhan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan. Lebih separuh daripada syarikat yang diselidik menyatakan bahawa perniagaan mereka telah terjejas secara langsung akibat kerumitan tersebut, sekali gus menegaskan bahawa tadbir urus dan pengurusan risiko kini menjadi keutamaan global.

    Dalam sektor kewangan, keperluan terhadap tadbir urus yang mantap amat penting memandangkan institusi kewangan bertanggungjawab terhadap dana orang ramai.

    Dato Seri Paduka Haji Khairuddin hadir selaku tetamu kehormat bagi acara tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Hajah Rashidah menyampaikan ucapan alu-aluan dalam acara berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Kegagalan dalam pengurusan risiko dan pengawasan tadbir urus yang lemah pernah menjadi antara punca utama krisis kewangan seperti Krisis Kewangan Asia 1997 dan Krisis Kewangan Global 2007/2008. Sejak itu, pelbagai reformasi peraturan telah dilaksanakan di peringkat antarabangsa untuk memperkukuh fungsi dan tanggungjawab lembaga pengarah.

    Di Brunei Darussalam, reformasi tadbir urus korporat terus diberi keutamaan, selaras dengan pengenalan Kod Tadbir Urus Korporat oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi pada tahun 2016.

    BDCB juga telah mengambil pelbagai langkah untuk memperkukuh rangka kerja tadbir urus bagi sektor kewangan, termasuk sektor perbankan, insurans dan syarikat kewangan sejak tahun 2018 dan 2020. Pendekatan tersebut berlandaskan kepada piawaian badan antarabangsa seperti OECD, FSB, BCBS dan IAIS.

    Walau bagaimanapun, ujar beliau lagi, pematuhan semata-mata tidak menjamin kejayaan tadbir urus. Lembaga pengarah masa kini perlu turut menyesuaikan diri dengan isu semasa seperti transformasi digital, kelestarian, serta harapan daripada pemegang kepentingan.

    Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid, selaku tetamu kehormat dalam ucaptamanya menekankan bahawa tema forum tahun ini, From Compliance to Strategy: Elevating Governance for the Modern Boardroom amat bertepatan dengan landskap korporat semasa.

    Menurut beliau, “Tadbir urus bukan lagi hanya tentang pematuhan peraturan, tetapi telah menjadi pemacu utama kepada hala tuju strategik, inovasi, daya tahan dan penciptaan nilai jangka panjang sesebuah organisasi.”

    Beliau menyatakan bahawa lembaga pengarah hari ini bukan sahaja pemantau kewangan tetapi berperanan sebagai arkitek kepada nilai dan pertumbuhan masa depan. Mereka perlu memiliki bukan sahaja kemahiran teknikal dan fidusiari, tetapi juga wawasan strategik, integriti etika, dan kefahaman terhadap impak sosial, ekonomi serta alam sekitar.

    Katanya lagi, kualiti dan kebolehan tadbir urus korporat akan menjadi penentu kepada daya saing negara secara keseluruhan.

    Mengenai dengan profesionalisme lembaga pengarah perlu dipertingkatkan, beliau menyeru pembangunan profesionalisme pengarah terus di perkasa melalui pensijilan, latihan, bimbingan etika serta jaringan pembelajaran bersama.

    “Di bawah Akta Syarikat-syarikat, para pengarah boleh dikenakan tanggungjawab peribadi sekiranya gagal melaksanakan tugas mereka, termasuk dalam penyimpanan rekod, pemfailan statutori dan pengawasan fidusiari. Kegagalan ini boleh mengakibatkan denda, hilang kelayakan memegang jawatan atau bahkan pemenjaraan,” tegas beliau.

    Sebagai penutup, beliau menyeru agar semua peserta forum memanfaatkan peluang ini untuk mendalami ilmu, berkongsi pandangan dan bersama membina budaya tadbir urus korporat yang berintegriti dan berdaya tahan untuk masa hadapan negara.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda