Selepas bertahun menimba pengalaman sebagai pelakon, Baim Wong memulakan langkah sebagai pengarah dengan mempertaruhkan filem pertama berjudul Lembayung.
Memilih genre seram untuk taruhan pertama di layar perak, Baim atau nama sebenar, Muhammad Ibrahim mengakui genre itu bukanlah minat utamanya.
“Pada awalnya, saya ditawarkan sebagai pelakon. Apabila saya baca cerita yang diilhamkan daripada kisah benar, saya fikir mengapa tidak. Jujurnya, saya tidak pernah terfikir mengarahkan filem seram kerana saya tidak suka melihat benda aneh-aneh.
“Saya juga tak percaya dengan elemen mistik, tapi kisah Lembayung ini, bayangannya adalah manusia. Jadi, ia berbeza,” katanya kepada BH Online.
Baim optimis Lembayung yang diinspirasikan daripada kisah benar dikongsi di aplikasi X, mempunyai tarikan berbeza, justeru, menyahut cabaran mengarahkannya.
“Filem seram juga lebih diminati penonton. Tetapi bagaimana mahu membuatkan ia berbeza, agak sulit. Hari ini juga terlalu banyak filem seram dihasilkan dengan ada naskhah yang mana jalan ceritanya begitu sahaja.
“Tetapi, dalam Lembayung, saya tonjolkan drama, elemen seram dan ‘thriller’. Sukar menggabungkan tiga perkara dan saya harus mengarahkan filem ini dengan baik,” katanya.
Berikutan itu, Baim amat berterima kasih dengan mutu lakonan Arya Saloka, Taskya Namya, Yasamin Jasmen dan aktres kelahiran Malaysia, Anna Jobling dalam naskhah itu.
“Ada teman di Malaysia memandang rendah kepada Anna. Namun, bagi saya, Anna sangat bagus.
“Saya terkejut lihat prestasi diberi dan Anna ikut kelas latihan dengan guru lakonan,” katanya ditemui pada majlis tayangan filem Lembayung di sini, baru-baru ini.
Lembayung mencatatkan kejayaan luar biasa dengan menarik lebih 1.6 juta penonton ke pawagam di Indonesia. Malah, Lembayung disenaraikan sebagai salah satu daripada 10 filem tempatan terlaris di Indonesia, tahun ini. – Agensi