Wednesday, May 15, 2024
24 C
Brunei

    -

    Lembu biru simbol identiti unik Latvia

    KALVENE, LATVIA – Pernah satu ketika jarang didapati, lembu dengan kulit biru muda atau biru pekat mungkin kelihatan sekali lagi meragut rumput di kawasan desa Latvia di kalangan lembu-lembu ternakan warna perang, bintik hitam atau putih.

    Kacukan yang unik ini, hampir pupus semasa era Soviet, telah mencatat kepulangan dalam tempoh beberapa dekad lalu sebagai simbol identiti negara Latvia.

    “Era paling teruk mereka sudah berakhir,” kata Arnis Bergmanis, ketua taman haiwan Ciruli di kampung Kalvene, yang berfungsi sebagai pusat pembiakan untuk lembu.

    “Lembu biru adalah unik. Saya gembira kami dapat membantu mereka berkembang,” beritahunya kepada AFP semasa memeriksa seekor anak lembu.

    Pada 2000, hanya terdapat 18 lembu biru di Latvia, namun hari ini jumlahnya telah mencecah 1,500 – baka baik serta kacukan.

    Lembu biru Latvia meragut rumput di Ciruli di Kalvene, Latvia. – AFP

    Pada mulanya hanya ditemui di pantai Baltik di rantau Kurzene, lembu berkenaan juga semakin popular di tengah kawasan.

    “Kami gembira dapat membantu setiap penternak atau pemilik rumah penginapan untuk mendapatkan lembu biru istimewa mereka sendiri,” kata Bergmanis.

    Pengurus rumah penginapan kawasan desa membeli lembu berkenaan sebagai tarikan pelancong, sementara penternak memasukkan lembu biru dalam ternakan mereka disebabkan naluri keibuannya yang kuat.

    “Jika anak lembu kehilangan atau terpisah daripada ibunya, lembu biru akan menjaganya bagaikan anaknya sendiri,” kata Bergmanis.

    Lembu biru hidup di kawasan pantai, di mana haiwan berkenaan menjalani gaya hidup sederhana, meragut rumput belukar – makanan yang tidak dapat dimakan oleh lembu lain.
    Menurut legenda, lembu itu mendapat warna biru daripada laut, walaupun mereka dilahir dalam warna kuning air.

    Bagaimanapun, kulit mereka juga berubah menjadi biru lama-kelamaan dan semakin gelap apabila usia semakin meningkat.

    Pigmen juga mempengaruhi tisu otot, menghasilkan daging yang amat gelap, meskipun jumlah mereka semakin berkurangan untuk membolehkan daging dijual pada skala besar-besaran.

    Apabila komunis berkuasa di bawah pendudukan Soviet, mereka menekankan pengeluaran besar-besaran daging lembu dan tenusu. Mereka memilih lembu yang lebih generik, menyebabkan lembu biru hampir kepupusan.

    Pada tahun 2006, penternak, saintis dan penggemar menubuhkan Persatuan Lembu Biru untuk melindungi baka tersebut.

    Sementara itu, kerajaan menawarkan subsidi khas untuk pemilik lembu biru.

    Lembu biru menghasilkan susu yang kurang berbanding lembu biasa – kira-kira 5,000 liter setiap lembu setahun berbanding 8,000 untuk baka Holstein – namun susu adalah lebih sihat dan lebih berkhasiat.

    Lembu berkenaan juga menonjol disebabkan keupayaan mereka bertahan dalam keadaan sukar, menurut Daiga Simkevica, ketua Persatuan Lembu Biru.

    “Lembu biru yang sihat boleh hidup sepanjang tahun di luar, walaupun semasa musim sejuk bersalji, yang tidak dapat ditahan oleh baka lembu lain,” kongsi beliau kepada AFP.

    Persatuan Lembu Biru menganjurkan seminar untuk penterbak, menyimpan rekod untuk mengelak pembiakbakaan dalam, berusaha menambah jumlah dan juga menjalankan penyelidikan mengenai lembu berkenaan.

    “Pada masa depan, kami berharap dapat menjalankan analisis DNA sepenuhnya untuk mengenal pasti gen yang unik dalam lembu biru,” kata Simkevica. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hospital di India terima ancaman bom

    NEW DELHI, 14 MEI – Beberapa buah hospital di Ibu Kota India, Delhi hari ini menerima panggilan ancaman bom, memaksa pihak pentadbiran untuk menghubungi...