Pelakon Dynas Mokhtar melalui pengalaman melakukan ibadah korban dengan cara berbeza apabila terpaksa melakukan proses penyembelihan lembu di dalam hutan.
Kata Dynas atau Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar, 42, ia susulan haiwan yang sepatutnya dijadikan korban itu tiba-tiba hilang sekitar pukul 3 pagi pada Sabtu di Tapah, Perak.
Selepas ditemui pihak pengurusan surau membuat keputusan untuk melakukan penyembelihan di lokasi lembu tersebut dijumpai bagi memudahkan urusan.
“Pukul 3 pagi orang surau sedar lembu yang keluarga saya ingin korbankan hilang. Mereka cari dan jumpa di dalam hutan.
“Ini pertama kali mereka melakukan korban di dalam hutan kerana ingin mengelakkan kesukaran menarik lembu berkenaan untuk kembali ke surau,” katanya ketika dihubungi mStar kelmarin.
Dalam pada itu, Dynas meluahkan rasa syukur apabila akhirnya ibadah korban keluarganya dipermudahkan meskipun dilakukan di dalam hutan.
Pelakon ini juga sendiri turun padang bersama ahli keluarga yang lain bagi mencari lembu berkenaan selepas dilaporkan hilang.
“Bila ayah saya pulang daripada solat sunat Aidiladha, katanya lembu sudah dijumpai di dalam hutan.
“Jadi saya pun terpaksa masuk ke dalam hutan untuk melihat lembu tersebut disembelih. Alhamdulillah saya bersyukur semuanya selesai dan proses menyembelih lembu pun dilakukan dengan cepat,” ujarnya.
Bercerita lanjut mengenai sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini, Dynas berkongsi dia teruja dapat melakukan ibadah korban bersama keluarga di kampung halaman.
Tambahnya, melakukan ibadah korban di dalam hutan juga merupakan pengalaman pertama yang tidak akan dilupakan mereka.
“Tahun ini kami sekeluarga korbankan seekor lembu termasuklah ibu saudara, bapa saudara dan sepupu.
“Semua keluarga saya balik Tapah untuk bergotong-royong masak sempena Aidiladha. Pengalaman korban tahun ini tidak akan kami lupakan. Pertama kali melakukan ibadah korban dalam hutan,” kongsinya. – Agensi


