Lemur dicuri dari zoo ditemui semula

SAN FRANCISCO, 16 OKT – Seekor lemur yang ekornya bergelang dari Zoo San Francisco telah ditemui semula, kata polis semalam.

Lemur jantan berusia 21 tahun dengan nama Maki didapati hilang sejurus sebelum zoo dibuka kepada pelawat pada Rabu.

Penyiasat menemui bukti yang menunjukkan kurungan lemur telah dipecah masuk.

Seseorang menghubungi polis pada petang semalam mengatakan Maki kelihatan di Bandar Daly, beberapa batu dari selatan zoo, kata pegawai.

“Sekitar pukul 5 petang, kami menerima laporan mengatakan haiwan itu berada di kawasan taman permainan Gereja Hope Lutheran. Kami mengepungnya sehingga kakitangan zoo membawanya pulang,” kata polis Bandar Daly di Twitter.

Maki didapati berada dalam keadaan sihat dan dibawa pulang ke zoo, kata polis San Francisco dalam satu kenyataan.

Detektif masih menyiasat kejadian pecah masuk itu.

Maki dilahirkan di zoo itu pada 1999 dan mempunyai seekor anak dalam kurungan, kata jurucakap zoo Nancy Chan.

Habitat lemur di luar menempatkan tujuh spesies lemur berlainan yang berasal dari Madagascar, menurut laman web zoo. Sesetengahnya adalah spesies terancam. – AP

Gambar yang dikeluarkan oleh Polis San Francisco menunjukkan lemur bernama Maki. Lemur itu hilang dari Zoo San Francisco selepas seseorang memecah masuk kurungannya pada malam dan mencuri haiwan terancam itu. – AP