BACHOK – Hampir setiap petang bermula Jun, kawasan kuala Pantai Melawi menjadi tumpuan ramai pengunjung yang bukan sahaja datang untuk menikmati pemandangan indah malah turut menyaksikan golongan belia bermain wau puyuh.
Pembuat wau Nordin Yaacob, 62, dari Kampung Pantai Baru berkata wau puyuh adalah sejenis layang-layang yang popular di Kelantan menyerupai bentuk wau bulan tetapi
memiliki corak ekor lebih melengkung.
“Apabila sudah dinaikkan, semakin wau puyuh melenggang ditiup angin, ia semakin menarik untuk dilihat,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Bercerita lanjut, Nordin berkata mulai Jun dan Ogos setiap tahun, ia merupakan tempoh sesuai bagi menghasilkan wau puyuh untuk dimainkan sebelum musim tengkujuh.
“Sebelum musim tengkujuh bermula, angin sangat sesuai untuk bermain wau atau layang-layang. Sebab itu mulai Jun dan Ogos sebuah bangsal di kawasan ini meriah dengan kehadiran rakan-rakan yang membuat wau.
“Kebiasaannya kita akan buat empat atau lima lagi wau baharu sebagai tambahan wau yang digunakan pada tahun lepas,” katanya.
Nordin berkata antara bahan diperlukan untuk membuat wau puyuh ialah buluh betong, batang pinang, tali, gam dan plastik.
“Kita tidak guna buluh untuk bahagian tulang belakang wau puyuh, sebaliknya kita guna batang pinang untuk beri lebih ketahanan. Selain itu, plastik kini digunakan secara meluas menggantikan kertas kerana lebih tahan lama.
“Wau puyuh mampu tahan lama, justeru kita cuma tambah untuk beri peluang ramai lagi bermain bersama. Sebagai contoh lima wau tahun lepas masih elok, jadi tahun ini kita cuma tambah empat atau lima lagi,” katanya yang sering menjadi pakar rujuk membuat wau puyuh di kampung tersebut.
Menurut Nordin, wau puyuh dihasilkan dengan pelbagai saiz namun yang sesuai digunakan di kawasan pantai adalah berukuran 4.5 meter tinggi dan tiga meter lebar. – Bernama