Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JUN – Program World Bank Talent Outreach dengan tema Empowering SEAVG Talent for Global Development telah diadakan buat julung kalinya di Negara Brunei Darussalam bertempat di Pusat Seni Pro Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD) pagi tadi.
Acara yang menandakan kerjasama pertama antara Kumpulan Bank Dunia dan Brunei Darussalam ini mencerminkan komitmen negara untuk melengkapkan belia dan profesional tempatan dengan alat dan peluang yang diperlukan untuk berkembang maju dalam sektor pembangunan global.
Program tersebut dianjurkan Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE), Pejabat Perancangan Tenaga Manusia (MPO) di bawah Jabatan Perdana Menteri dan UBD, dengan kerjasama Kumpulan Bank Dunia. Ia diadakan bersempena Kem Musim Panas UBD-Rangkaian Universiti ASEAN (AUN) di bawah inisiatif Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (MYCE) 2025.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad.
Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan memupuk bakat untuk ekonomi yang dinamik dan mampan, di mana inisiatif seumpama itu sangat penting dalam menyediakan pendedahan dan kebolehan bertaraf antarabangsa kepada belia Brunei demi menyokong aspirasi Wawasan Brunei 2035.

Lebih 300 peserta dari Negara Brunei Darussalam dan negara-negara kumpulan pengundi Asia Tenggara (SEAVG) menghadiri program hibrid setengah hari itu, termasuk 163 pelajar Kem Musim Panas UBD-AUN serta pelajar dari institusi pengajian tinggi lain di Brunei dan pencari kerja tempatan.
Kem Musim Panas UBD-AUN merupakan program tahunan yang menghimpunkan belia ASEAN untuk memupuk persefahaman budaya, kerjasama dan kepimpinan melalui aktiviti akademik dan perbincangan mengenai isu global. Tema tahun ini, Green Stewardship: Preserving Biodiversity and Advancing Sustainable Development sejajar dengan matlamat Program Talent Outreach dalam memupuk kesedaran terhadap pembangunan mampan dan penyertaan belia dalam institusi global.
Program itu turut mengetengahkan peluang kerjaya di Kumpulan Bank Dunia seperti Young Professionals Program (YPP), Junior Professional Associate (JPA) dan program latihan industri yang berdaya saing.
Ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Pengarah Eksekutif SEAVG di Bank Dunia, Dr Wempi Saputra, disusuli dengan taklimat kerjaya serta panduan permohonan oleh Pakar Kanan Sumber Manusia, Anna Katarina Frick dan Rakan Kongsi Perniagaan HR Kanan, Paniti Chuenrudeemol.
Para peserta diberikan gambaran menyeluruh mengenai proses pengambilan pekerja serta kemahiran terkini yang diperlukan dalam bidang seperti transformasi digital, tindakan iklim dan kewangan antarabangsa.
Sambutan memberangsangkan daripada para pelajar, pencari kerja dan profesional dari institusi pendidikan tinggi Brunei serta negara-negara SEAVG menggambarkan minat yang semakin meningkat terhadap peluang kerjaya antarabangsa dan kerjasama rentas sempadan.