Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lengkapkan graduan ke arah masa depan digital

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Kementerian Pendidikan akan terus merangka program-program pembelajaran dalam usahanya menerapkan teknologi baharu terutama dalam bidang kecerdasan buatan, robotik, data analitik dan data sains di institusi-institusi pengajian tinggi di Negara Brunei Darussalam.

    Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman semasa berucap pada Mesyuarat Menteri-menteri Penyelidikan G20 yang diadakan secara maya hari ini mengatakan, ia adalah salah satu usaha kementerian tersebut untuk melengkapkan graduan ke arah masa depan digital selaras juga dengan Pelan Induk Ekonomi Digital
    negara ini.

    Mesyuarat Menteri-menteri Penyelidikan G20 tahun ini dihadiri oleh menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri dan wakil-wakil dalam penyelidikan dan pengajian tinggi dari negara-negara ahli G20 yang mana antara lain adalah seperti Australia, Kanada, Jerman, Jepun, Persekutuan Rusia, Republik Selatan, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

    Turut hadir ialah Singapura, Sepanyol dan Belanda selaku tetamu khas untuk mesyuarat-mesyuarat G20 serta pertubuhan serantau dan antarabangsa seperti Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dan Kesatuan Afrika (AU).

    Yang Berhormat Dato pada mesyuarat itu turut mengongsikan beberapa inisiatif yang dilaksanakan oleh ASEAN dan Kementerian Pendidikan negara ini dalam bidang penyelidikan dan pengajian tinggi.

    Perkara tersebut termasuklah fokus ASEAN dalam mengukuhkan peranan institusi pengajian tinggi ASEAN melalui kolaborasi pendidikan dan penyelidikan yang fleksibel, inovatif, pelbagai disiplin, rentas sempadan.

    Selain itu, ASEAN turut memberikan penekanan terhadap kemahiran abad ke-21 dalam usaha ASEAN ke arah transformasi digital.

    Mesyuarat diakhiri dengan pengesahan Deklarasi Menteri-menteri Penyelidikan G20.

    Yang Berhormat Menteri Pendidikan ketika menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Penyelidikan G20 yang diadakan secara maya, kelmarin. – Gambar serahan Kementerian Pendidikan
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda