Saturday, October 26, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lengkoh dianggap spesies ‘pengacau’

    Oleh Raz AS –

    Dikenali sebagai titir ketika bersaiz kecil atau alu-alu dan lengkoh setelah mencecah saiz besar, ikan yang secara universalnya lebih dikenali sebagai ikan barracuda ini merupakan ikan pemangsa air masin daripada genus sphyraena.

    Ikan yang terkenal dengan sifat ganas, agresif dan rupa menakutkan dek giginya yang setajam pisau cukur ini boleh ditemui di kawasan laut tropika dan subtropika di seluruh dunia, dari timur Lautan Atlantik sehingga ke Laut Merah dan Laut Carribean, dan Lautan Pasifik.

    Berbadan panjang dan tirus umpama kelongsong peluru, selain memiliki gigi yang tajam, rahang mulutnya besar dan boleh terbuka luas, dengan rahang bahagian bawah sedikit ke hadapan berbanding rahang atasnya.

    Badannya yang berwarna kelabu gelap, kehijauan dan putih atau biru pada bahagian atas dan perak pada bahagian bawah mengikut spesies itu ditutupi dengan sisik-sisik halus.

    Sesetengah spesies lengkoh boleh membesar sehingga lebih 2 meter panjang dan mencecah berat sehingga kira-kira 46.2kg seperti guniean barracuda (sphyraena afra) yang boleh ditemui di timur Atlantik dari Mauritania ke Namibia.

    Meskipun dianggap gamefish yang hebat dalam kalangan pemancing di seluruh dunia, namun sesetengah pemancing menganggap ikan ini sebagai spesies ‘pengacau’. – GAMBAR OLEH LANDSHARK OUTDOORS

    Manakala sphyraena jello atau juga dikenali sebagai pickhandle barracuda yang juga boleh ditemui di perairan negara kita pula diketahui boleh membesar sehingga 1.5 meter panjang.

    Selain menghuni kawasan laut terbuka, ikan ini juga boleh ditemui di kawasan pesisir pantai dan muara sungai yang menjadikan ikan dan sotong sebagai sumber dietnya.

    Meskipun dianggap sebagai gamefish yang hebat dalam kalangan pemancing di seluruh dunia, namun sesetengah pemancing menganggap ikan ini sebagai spesies ‘pengacau’ kerana keupayaannya untuk memutus tali pancing dengan senang dan kadang-kadang membaham ikan lain yang telah memakan pancing sehingga menyebabkan ikan tersebut terputus dua.

    Selain itu, ikan lengkoh juga popular dijadikan sebagai hidangan akan tetapi tidak disyorkan untuk dimakan jika bersaiz besar kerana kandungan toksin di dalam badannya yang boleh mengakibatkan cirit-birit, muntah-muntah, gatal dan pening (Ciguatera fish poisoning – CFP).

    Sedikit fakta menarik berkaitan ikan ini adalah satu rekod dunia yang diiktiraf International Game Fish Association atau dikenali sebagai IGFA bagi pemancing wanita kelas tali berkekuatan 6lb untuk ikan great barracuda (sphyraena barracuda) berjaya disandang oleh Chloe Hornhardt, seorang pemancing muda berusia 13 tahun dari Australia, dengan berat 16.42 kilogram.

    Ia juga merupakan Rekod Dunia IGFA ke-14 yang disandangnya pada usia semuda itu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda