Saturday, May 10, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Leo XIV rai pemilihan sebagai paus

    VATIKAN, 9 MEI – Paus Leo XIV akan meraikan pemilihannya pada acara Misa hari ini, sehari selepas menjadi ketua Gereja Katolik pertama dari Amerika Syarikat (AS) dan dunia turut menanti petunjuk tentang jenis kepimpinan yang akan dibawanya.

    Robert Francis Prevost, yang dilahirkan di Chicago, telah dilantik kelmarin sebagai paus ke-267, pemimpin rohani kepada 1.4 bilion penganut Katolik di seluruh dunia, selepas satu konklaf rahsia yang diadakan oleh para kardinal di Kapel Sistina, Vatican.

    Pada 11 pagi hari ini, Prevost yang berusia 69 tahun atau digelar sebagai ‘Latin Yankee’ di Rom kerana pernah menjadi mubaligh di Peru, akan kembali ke kapel untuk meraikan Misa secara tertutup bersama para kardinal, yang akan disiarkan oleh Vatican.

    Beliau dijangka menyampaikan ucapan sulungnya yang dinantikan sebagai paus.

    Puluhan ribu orang bersorak gembira apabila Leo muncul di balkoni Basilika St Peter pada malam kelmarin.

    Leo XIV, di Basilika St. Peter, Vatikan, pada 8 Mei. – AP

    Warga Amerika itu telah menghabiskan dua dekad di Peru dan hanya dilantik sebagai kardinal pada 2023, termasuk dalam senarai calon paus pilihan dalam kalangan pemerhati Vatican, meskipun beliau bukanlah tokoh yang dikenali secara meluas di peringkat global.

    Di Peru, para penyokong termasuk Uskup El Callao di luar Lima, Luis Alberto Barrera, memberi penghormatan atas penglibatan warga Augustin itu di negara Andes tersebut.

    “Beliau menunjukkan sifat prihatin dan kesederhanaannya terhadap rakyat,” kata Barrera kepada AFP.

    Di Chicago, penduduk tempatan meraikan minatnya terhadap besbol, piza berlapis tebal dan kawasan kejiranan kelas pekerja di South Side di bandar ketiga terbesar di AS itu.

    Akhbar Chicago Tribune menggelarnya ‘kebanggaan dan kegembiraan setiap paderi dan biarawati’ di kawasan beliau bersekolah dan pernah menjadi pembantu altar.

    Dalam ucapan pertamanya kepada orang ramai yang memenuhi Dataran St Peter pada malam kelmarin, Leo menyuarakan mesej damai sama dengan pendahulunya, Paus Fransiskus. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda