Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JUN – Suasana penuh keceriaan dan semangat kekeluargaan menyelubungi perkarangan Rumah Semaun, Jalan Jerambak apabila Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (PPKKI-YSHHB) menganjurkan acara Lepak at Rumah Semaun sempena Hari Keluarga Kebangsaan, hari ini.
Acara yang diadakan buat julung kalinya itu berjaya menarik penyertaan orang ramai daripada pelbagai peringkat umur dengan pelbagai pengisian aktiviti yang memupuk semangat kekeluargaan, daya kreativiti serta keusahawanan dalam kalangan masyarakat.
Antara aktiviti utama yang menjadi tumpuan termasuklah pertandingan mewarna dan khat, pertandingan futsal, aktiviti memanah, serta jualan car boot dan gerai makanan yang menerima sambutan hangat daripada para pengunjung.
Pertandingan mewarna, yang dibuka kepada kanak-kanak berumur enam hingga 12 tahun, serta pertandingan khat bagi remaja berusia 10 hingga 15 tahun telah diadakan di Dewan Ma’rifah, PPKKI-YSHHB.
Program itu bukan sahaja memberi peluang kepada para peserta untuk menonjolkan bakat seni dan kreativiti mereka, malah memperkukuhkan penglibatan generasi muda dalam aktiviti berunsur seni dan keagamaan.
Kemasukan percuma sepanjang acara membolehkan ia dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang, sekali gus mewujudkan suasana santai dan harmoni.
Acara juga dimeriahkan dengan penyertaan vendor tempatan yang menyajikan
pelbagai pilihan makanan dan minuman popular.
Kehadiran mereka bukan sahaja menambah kemeriahan suasana, tetapi turut membuka ruang kepada usahawan tempatan untuk mengetengahkan produk mereka kepada pengunjung yang hadir.
PPKKI-YSHHB melalui penganjuran program seperti ini terus berusaha memperkukuhkan hubungan komuniti, memperkasa belia serta menyemai nilai seni dan budaya Islam dalam kalangan masyarakat.






