Thursday, October 10, 2024
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lepas emosi terpendam di ‘bilik mengamuk’

    LAGOS, NIGERIA — Bagaimanakah awda menangani tekanan?

    Di Lagos, bandar terbesar di Nigeria, orang ramai menemui jalan keluar daripada tekanan dengan mengunjungi ‘bilik mengamuk’ di mana mereka membayar untuk menghancurkan barangan elektronik dan perabot menggunakan tukul besi sebagai cara merehatkan diri daripada berhadapan dengan krisis kos sara hidup terburuk dalam satu generasi.

    Shadow Rage Room, yang pertama seumpamanya di Nigeria, menawarkan ‘ruang selamat’ bagi individu untuk melepaskan emosi yang terpendam, menurut Dr James Babajide Banjoko, pengasasnya yang juga pakar perubatan.

    Idea itu, katanya, datang semasa pandemik COVID-19 pada 2020 selepas dia kehilangan ibunya dan berhadapan dengan tekanan kerja.

    Dengan bayaran 7,500 naira (AS$5), pelanggan ditinggalkan bersendirian selama 30 minit, dilengkapi dengan peralatan perlindungan dan tukul besi atau kayu pemukul untuk memecahkan barang-barang yang kemudiannya dikitar semula.

    Pelawat memakai alat pelindung dan menggunakan tukul besi untuk memecahkan peti televisyen. – AP
    Eka Stephanie Paul melepaskan kemarahannya di dalam bilik mengamuk. – AP
    James Babajide Banjoko, pengasas Shadow Rage Room, bercakap semasa temu bual di Lagos, Nigeria. – AP
    Seorang lelaki ketawa selepas memecahkan peti televisyen. – AP

    Penduduk Nigeria menghadapi masa sukar, di mana negara dengan lebih 200 juta penduduk mengalami peningkatan rasa tidak puas hati, terutamanya dalam kalangan belia yang membawa kepada protes besar-besaran sehingga beberapa orang terbunuh oleh pasukan keselamatan.

    Kadar inflasi kini telah mencapai paras tertinggi dalam 28 tahun sebanyak 33.4 peratus, manakala mata wang naira telah jatuh ke paras terendah berbanding dolar.

    Perkhidmatan kesihatan mental masih asing atau tidak mampu dibayar oleh kebanyakan orang di negara paling ramai penduduk di Afrika ini, di mana 40 peratus rakyatnya hidup dengan pendapatan di bawah AS$2 sehari.

    Negara Afrika Barat hanya mempunyai kurang daripada 400 ahli psikologi berdaftar, menurut Persatuan Psikologi Klinikal Nigeria (NACP). Itu bermakna seorang ahli psikologi untuk kira-kira setiap setengah juta orang.

    Walaupun terapi tersedia, stigma tetap menjadi cabaran besar, kata Presiden NACP, Gboyega Emmanuel Abikoye dalam satu temu bual.

    Bilik mengamuk tidak semestinya sesuatu yang baharu di bahagian lain di dunia. Tiada bukti yang didokumentasikan tentang manfaat kesihatan mental selain kelegaan seketika yang diperoleh daripada meluahkan perasaan, kata Abikoye.

    Pakar di Nigeria sebaliknya melihat keperluan yang semakin meningkat untuk sokongan emosi jangka panjang, terutamanya di kalangan belia.

    Di Lagos, sebuah bandar yang padat dengan kira-kira 20 juta orang dan menjadi tarikan bagi mereka yang mencari peluang yang lebih baik, keperluan sedemikian semakin ketara.

    Tekanan harian termasuklah kesesakan lalu lintas yang teruk, yang sering memerangkap pemandu dan penumpang di jalanan selama berjam-jam dalam keadaan panas dan asap di salah satu bandar paling tercemar di dunia.

    Sesetengah rakyat Nigeria telah beralih ke platform media sosial seperti TikTok sebagai cara untuk mengatasi tekanan. Ada yang mencari sokongan dalam komuniti seperti gereja atau masjid atau gimnasium.

    Kini terdapat bilik mengamuk, yang dibuka pada hujung minggu dan biasanya ditempah penuh sehingga dua minggu lebih awal, menurut Banjoko, pengasasnya.

    Pada akhir satu sesi, Olaribigbe Akeem, seorang pengunjung baru-baru ini, keluar dalam keadaan berpeluh tetapi berasa lega dan kelihatan gembira.

    “Sebagai rakyat biasa Nigeria, awda akan berurusan dengan banyak perkara setiap hari,” kata Akeem. “Kemarahan telah berkumpul (dan) daripada melepaskannya kepada seseorang, ini adalah jalan terbaik untuk saya dan saya berasa lega.”

    Pengunjung bilik mengamuk juga termasuk pasangan yang ingin meluahkan sesuatu yang terpendam. Kadang-kadang, orang datang untuk beriadah, tetapi menemukan sesuatu yang lebih.

    “Pelawat kegemaran saya adalah mereka yang hanya mahu mencubanya dan di penghujungnya, awda melihat mereka, mereka hancur luluh, mereka menangis, mereka menjadi sangat ekspresif,” kata Banjoko. Dia sering merujuknya kepada terapi.

    Dr Maymunah Yusuf Kadiri, pakar psikiatri yang berpangkalan di Lagos, berkata manfaat daripada menghancurkan sesuatu barang biasanya hanya sementara dan tidak boleh menjadi pengganti terapi.

    Dia turut menyuarakan kebimbangan bahawa amalan sedemikian mungkin mengurangkan kecenderungan seseorang untuk menggunakan ‘strategi mengatasi tekanan yang lebih sihat’ dan berpendapat bahawa ‘penglibatan yang berulang-ulang mungkin mengukuhkan kecenderungan agresif’.

    Di bilik mengamuk, beberapa pelanggan berkata masalah mereka terasa lebih ringan hanya seketika sehingga mereka kembali kepada realiti kehidupan harian.

    Namun, menjadi rentan dengan diri sendiri sambil memegang tukul besi tetap berbaloi, kata Eka Stephanie Paul, seorang pelakon dan pengacara TV.

    “Masalah tidak akan pernah selesai dan diakui bilik mengamuk bukanlah penyelesaian. Tetapi sekarang, fikiran saya berasa sangat ringan,” tambahnya lagi. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda