Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MAC – Brunei Cybersecurity Association (BCSA) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Swasta, Kementerian Pendidikan telah menyerahkan Trend Micro antivirus licenses untuk meningkatkan sekuriti siber bagi institusi-institusi akademik dalam majlis penyerahan yang berlangsung di Dewan Kuliah 2, Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI), baru-baru ini.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh BCSA, di sini, menyatakan bahawa pada September 2024 semasa Persidangan Sekuriti Siber Brunei Tahuan (CySec) di The Empire Brunei, Trend Micro telah menyumbangkan sebanyak 15,000 lesen antivirus kepada BCSA.
Daripada jumlah berkenaan, 10,000 lesen diperuntukkan bagi institusi pendidikan, manakala 5,000 lesen lagi ditetapkan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi kegunaan peranti peribadi mereka.
Sumbangan berkenaan merupakan sebahagian daripada kempen tanggungjawab sosial korporat Trend Micro dan dihasratkan untuk meningkatkan infrastruktur sekuriti siber dan melindungi aset digital pendidikan dan PKS di seluruh negara.
Majlis berkenaan telah dihadiri oleh pihak berkepentingan utama termasuk wakil daripada 63 buah institusi pendidikan formal swasta dan 31 buah institusi pendidikan bukan-formal swasta.

Majlis turut dihadiri oleh ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif BCSA dan para pegawai dari Jabatan Pendidikan Swasta dengan majlis mengetengahkan pentingnya kesedaran sekuriti siber dalam institusi pendidikan.
Dalam ucapan alu-aluannya, Presiden BCSA, Awang Mohamad Azad Zaki bin Haji Mohd Tahir, memberikan gambaran menyeluruh mengenai pentingnya sekuriti siber dalam sektor pendidikan.
Majlis kemudian menyaksikan penyampaian sesi kesedaran sekuriti siber yang disempurnakan oleh ahli Jawatankuasa Eksekutif BCSA dan ahli Jawatankuasa ANAK IT BN, Awang Mohammad Zulfadly bin Haji Ismail di mana sesi menumpukan kepada ancaman siber yang dihadapi oleh institusi pendidikan, mendidik pada hadirin bagaimana untuk mengenal pasti dan mengurangkan potensi risiko dalam dunia yang semakin digital.

Kemuncak majlis berkenaan ialah penyerahan sumbangan lesen antivirus Trend Micro yang diketuai oleh Naib Presiden BCSA, Awang Mohammad Hakim bin Haji Bakri, di mana beliau menekankan kepentingan lesen berkenaan dalam mempromosikan suasana atas talian selamat bagi pendidik dan pelajar serta membantu melindungi infrastruktur digital negara dalam suasana pendidikan.
Pengagihan lesen-lesen berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan BCSA kepada mengukuhkan sekuriti siber dalam sektor akademik Brunei dan mempromosikan ruang digital yang lebih selamat bagi pelajar generasi akan datang.