Lesen memandu penyanyi Justin Timberlake digantung selama dua minggu selepas ditahan di New York, Amerika Syarikat pada Jun lalu.
Memetik laporan Mirror, Justin membuat penampilan secara virtual menerusi pautan video dari Antwerp di Belgium, di mana lokasi dia sedang mengadakan jelajah untuk mempromosikan album baharu.
Penyanyi itu mengaku tidak bersalah dan wakil peguamnya iaitu Edward Burke Jr, menolak kes tersebut dalam dokumen pertuduhan dan menegaskan bahawa anak guamnya tidak mabuk. Perbicaraan kes melibatkan penyanyi berusia 43 tahun itu akan disambung pada 9 Ogos ini.
Pada 18 Jun lalu, Justin ditahan ketika memandu dalam keadaan mabuk di New York, Amerika Syarikat namun dibebaskan dengan jaminan. Menerusi dokumen mahkamah, pihak polis melihat penyanyi berkenaan memandu kenderaan jenama BMW berwarna kelabu.
Justin didakwa gagal menghentikan kenderaan di papan tanda berhenti dan dua kali melencong dari lorong sepatutnya. Menurut keterangan pihak polis, penyanyi itu turut berada dalam keadaan mabuk dan tidak stabil. – Agensi


