Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 DIS – Individu yang belum menerima kad lesen memandu fizikal tetapi yang sudah menerima permohonan lesen memandu atau e-resit dalam talian mahupun kaunter, boleh mendapatkan kad tersebut dari mana-mana cawangan Jabatan Pengangkutan Darat (JPD).
Perkara tersebut diumumkan oleh Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Salihin bin Haji Aspar semasa Sidang Media Pengemaskinian Perkhidmatan-perkhidmatan di bawah MTIC yang berlangsung di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, hari ini.
Menurutnya, ia adalah bagi mereka yang telah menerima SMS ataupun e-resit semasa permohonan melalui perkhidmatan sama ada dalam talian melalui portal www.gov.bn, aplikasi TransportBN, Talian Darussalam 123 atau resit yang diterima melalui perkhidmatan kaunter-kaunter cawangan JPD ataupun kaunter-kaunter cawangan pejabat-pejabat Pos.
Haji Salihin turut menerangkan lesen memandu fizikal boleh didapatkan dalam tiga fasa iaitu bagi permohonan dari tarikh 8 Oktober 2021 hingga 8 November 2021, boleh hadir mendapatkan lesen fizikal bermula 8 hingga 31 Disember 2021, bagi permohonan dari 9 November hingga 7 Disember, boleh mendapatkan lesen fizikal bermula 3 Januari 2022 dan bagi permohonan melalui kaunter perkhidmatan pos sebelum 16 Disember 2021, boleh mendapatkan lesen fizikal bermula 4 hingga 18 Januari 2022.
Sementara itu, bagi mana-mana pihak seperti warga asing yang berkhidmat di negara ini, yang tidak mempunyai akaun e-Darussalam atau orang ramai seperti warga emas yang tidak dapat mengakses TransportBN boleh mendapatkan bantuan dari JPD.
Haji Salihin turut menerangkan pelaksanaan permohonan membaharui Lesen Memandu Kelas 3 bagi warga emas yang berumur dari 70 tahun dan ke atas yang sebelum ini dihadkan kepada satu tahun, di mana kini bagi pemohon berumur 70 tahun hingga 85 tahun kini, mereka diberikan pilihan untuk membaharui lesen memandu mereka bagi tempoh satu tahun, tiga tahun atau lima tahun sekali dengan pemohon hanya perlu untuk melengkapkan Borang Pengakuan Kesihatan Diri yang disediakan oleh JPD semasa membaharui lesen memandu.
Manakala itu, bagi pemohon yang berumur 86 tahun dan ke atas pula, mereka boleh membaharui Lesen Memandu Kelas 3 mereka bagi tempoh satu tahun sahaja dengan menyertakan sijil kesihatan yang disahkan oleh pengamal perubatan yang berdaftar serta diiktiraf.
Beliau berkata lagi bahawa bagi melancarkan permohonan pembaharuan lesen kenderaan warga emas yang berumur 86 tahun ke atas, disarankan untuk memohon sijil kesihatan lebih awal dan pelaksanaan dasar pembaharuan lesen memandu 70 tahun ke atas itu bermula pada 16 Disember.
Semasa sidang media itu, Pengarah Pengangkutan Darat, Haji Rozaly bin Haji Saidon ketika menjawab persoalan mengenai terdapat aduan daripada orang ramai mengenai lesen yang dipohon belum diterima, beliau menyatakan bahawa pihaknya mengambil maklum bahawa berlakunya masalah berkenaan disebabkan oleh beberapa perkara dan sedang berusaha untuk mengesan mereka yang mempunyai masalah berkenaan bagi membantu menyelesaikan masalah tersebut.
Beliau menyarankan kepada orang ramai khususnya bagi mereka yang mengalami masalah permohonan lesen belum diproses, mereka boleh berkunjung ke kaunter-kaunter perkhidmatan JPD bagi mendapatkan bantuan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.