Monday, May 12, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lesen Pembekal Perkhidmatan Rangkaian IoT diperkenalkan

    Oleh Sim Y.H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) akan memperkenalkan Lesen Pembekal Perkhidmatan Rangkaian Internet of Things (IoT) bermula 1 September 2024.

    Lesen itu bermatlamat untuk mempromosi penggunaan teknologi IoT mampan dan bertanggungjawab sambil melindungi kepentingan pengguna serta masyarakat yang lebih luas dengan menangani kebimbangan berkaitan sekuriti data, perlindingan privasi dan prestasi perkhidmatan di bawah terma dan syarat di mana peranti IoT digunakan, dikendalikan dan diselenggara.

    Pengenalan lesen berkenaan dijelaskan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha dalam ucaptama pe-rasmian Persidangan Masa Depan Digital 2024 (DCF2024) yang berlangsung di Dewan Bankuet, BRIDEX, Jerudong, hari ini.

    Beliau menyatakan nilai ekonomi IoT berpotensi berkembang pesat. Menurut laporan McKinsey, dianggarkan menjelang 2030, nilai ekonomi IoT berkemungkinan mencecah AS$12.5 trilion secara global dan jumlah peranti bersambung IoT mencapai kira-kira AS$25 bilion, iaitu meningkat daripada kira-kira AS$9 bilion pada 2017.

    Anggaran nilai ekonomi berkenaan termasuk nilai daripada pengguna dan pelanggan perkhidmatan serta produk IoT, jelasnya lagi.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary menyampaikan ucaptama semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Antara yang hadir semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Dalam hubungan itu, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary berkata percambahan peranti IoT dijangka akan menghasilkan nilai ekonomi besar yang berpotensi menambah AS$1.5 trilion hingga AS$2 trilion kepada KDNK global.

    Oleh itu, Negara Brunei Darussalam juga ingin melihat pertumbuhan IoT yang membolehkan peningkatan kesalinghubungan dan penggunaan aplikasi-aplikasi baharu di semua sektor.

    Mengulas mengenai pemba-ngunan etika dan urustadbir kecerdasan buatan (AI) dan strategi AI, Yang Berhormat Pengiran Dato berkata dunia berada dalam era teknologi di mana AI telah muncul sebagai kuasa tranformatif yang merevolusikan industri, meningkatkan keupayaan dan memacu inovasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

    Dengan keupayaannya untuk memproses jumlah data yang banyak, mengenal pasti corak dan membuat keputusan autonomi, AI memegang janji besar untuk menambah baik pelbagai aspek kehidupan kita.

    Namun begitu, di sebalik perkembangan itu, ia juga membawa bersama cabaran-cabaran ketara yang memerlukan perhatian kolektif.

    “Trend yang semakin meningkat bagi deepfakes yang dijana AI menimbulkan cabaran yang serius kerana ia boleh digunakan dengan niat jahat untuk menyebarkan maklumat salah, melakukan penipuan dan merosakkan reputasi dengan menghasilkan kandungan yang meyakinkan namun palsu.

    “Oleh itu, penting untuk kami mewujudkan rangka kerja kawalan yang komprehensif untuk memastikan teknologi AI dibangunkan dan digunakan secara bertanggungjawab dan saksama, justeru memacu inovasi dan mencipta nilai yang bermakna,” jelas Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary.

    Sebagai titik permulaan, usaha sedang dijalankan bagi membangunkan sebuah garis panduan bagi Etika dan Urustadbir AI untuk Negara Brunei Darussalam.

    Sebuah Kumpulan Kerja Etika dan Urustadbir AI yang diketuai oleh AITI dan terdiri daripada wakil-wakil dari pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan, sektor swasta dan akademia telah berkumpul untuk membangunkan garis panduan yang menawarkan pelbagai pertimbangan bagi organisasi untuk mencipta, membangunkan dan menggunakan AI dengan mengambil kira kerumitan teknologi serta risiko yang berkaitan dengan sistem-sistem AI.

    Di samping itu, sebagai mengiktiraf peranan kerajaan dalam mempromosikan penggunaan teknologi AI yang bermanfaat dan bertanggungjawab, beliau menyatakan kementeriannya juga sedang merangka Strategi AI bagi pembangunan dan pelaksanaan inisiatif-inisiatif AI untuk Negara Brunei Darussalam.

    Strategi berkenaan, antara lain akan menumpukan kepada pembangunan dasar, pembangunan bakat, infrastruktur dan ekosistem, penyelidikan dan inovasi, penglibatan awam serta pemantauan dan penilaian sistem-sistem AI.

    Mengambil kira perkembangan pesat AI, beliau menyatakan strategi berkenaan akan dikemaskini dan dinilai secara berkala dengan konsultasi bersama rakan kongsi industri untuk memastikan ia adalah selaras dengan perkembangan terkini dalam ruangan AI.

    Sebagai kesimpulan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary menyatakan adalah amat penting untuk mengimbangkan inovasi dengan langkah-langkah sekuriti siber yang ketat ketika mengemudi perkembangan pesat AI dan teknologi digital lain agar sistem, data dan rakyat kita dilindungi daripada ancaman yang sentiasa berkembang.

    “Walaupun teknologi menawarkan peluang yang luar biasa untuk kemajuan dan transformasi, komitmen kami untuk melindungi kemajuan ini juga penting,” kata beliau.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda