Lestari alam sekitar, hindari penggunaan plastik

Oleh Nurdiyanah R.

Sudah menjadi lumrah masyarakat kini, apabila pergi ke pasar raya, kedai runcit, kedai buku, restoran, gerai, pasar dan lain-lain, penggunaan beg plastik bagaikan tidak dapat dipisahkan.

Dengan kata lain, penggunaan beg plastik sudah menjadi suatu keperluan dalam kehidupan manusia sehingga mewujudkan budaya beg plastik sejak sekian lama dari satu generasi ke generasi seterusnya.

Namun realitinya sedar atau tidak, penggunaan bahan plastik yang bukan sahaja tertumpu pada beg plastik bahkan meliputi barangan plastik lain seperti straw, pembungkus, pinggan mangkuk, botol dan sebagainya secara berlebihan tanpa dikawal telah menyebabkan berlakunya pencemaran sisa plastik sehingga mencetus pelbagai kesan negatif terhadap alam sekitar dan kesihatan manusia.

Sehubungan itu, dianggarkan sebanyak 229,496 tan sisa sampah telah dibuang di tapak-tapak pelupusan di negara ini pada 2021, manakala, sisa plastik merupakan jenis sisa kedua terbesar iaitu sebanyak 29 peratus daripada keseluruhan sampah yang dibuang di tapak pelupusan.

Perkara itu ditekankan oleh Mantan Menteri Pembangunan, Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar semasa mengongsikan data sisa plastik tahunan mengikut Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNEP) dalam perutusannya sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2022, baru-baru ini.

Sebanyak 1,071 kilogram sampah telah dikumpulkan dalam kempen kebersihan persisiran pantai bagi sampah laut di lima buah pantai, baru-baru ini, di mana 426 kilogram adalah sisa botol plastik. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya
Plastik yang pecah dan terurai dalam laut akan menjadi mikroplastik dan nanoplastik yang akan mengundang bahaya kepada kepelbagaian hidupan laut.
Menggunakan beg kitar semula merupakan salah satu cara mengurangkan penggunaan beg plastik sekali guna.

“Jika senario business-as-usual masih diteruskan, jumlah sisa plastik tahunan yang memasuki ekosistem akuatik boleh meningkat hampir tiga kali ganda daripada sembilan hingga 14 juta tan pada 2016 kepada 23 hingga 37 juta tan menjelang 2040,” ujarnya.

Manakala itu, dapatan daripada Kempen Kebersihan Senegara Serpihan Laut Coastal Marvel yang dijalankan pada tahun lepas menunjukkan lebih 80 peratus sampah yang dikutip di pesisiran pantai merupakan sisa plastik, yang kebanyakannya adalah botol plastik.

Komponen tidak mudah mereput

Situasi ini sememangnya begitu membimbangkan kerana plastik merupakan komponen yang tidak mudah mereput. Bahkan plastik hanya akan pecah menjadi partikel kecil dan terurai apabila terdedah kepada sinaran ultraungu, oksigen, suhu yang tinggi dan aktiviti mikroorganisma dalam tempoh masa tertentu.

Plastik yang pecah dan terurai dalam laut akan menjadi mikroplastik (zarah plastik berukuran antara lima millimeter dan 0.1 mikrometer) dan nanoplastik (saiznya lebih kecil daripada mikroplastik iaitu 0.0000000009) yang akan mengundang bahaya kepada kepelbagaian hidupan laut yang terdiri daripada plankton sehinggalah haiwan yang besar seperti burung laut, penyu, ikan lumba-lumba, ikan paus dan sebagainya.

Partikel plastik ini bukan sahaja bahaya secara langsung apabila dimakan oleh haiwan di lautan, sebaliknya bahan kimia yang terdapat dalam plastik juga akan menyerap ke dalam tisu haiwan berkenaan. Keadaan ini pastinya akan memberi ancaman yang besar kepada kelangsungan hidupan marin dan kesihatan manusia apabila memakan sumber makanan laut yang dicemari oleh mikroplastik dan nanoplastik.

Dengan kata lain, partikel kecil plastik yang kekal dalam lautan selama berabad ini bukan sahaja mengancam hidupan marin, sebaliknya turut mencemarkan keseluruhan ekosistem marin sekali gus mengganggu serta merencatkan sistem rantaian makanan di lautan.

Sisa plastik global dijangka meningkat

Menurut laporan penemuan yang dikeluarkan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) pada sekitar awal Jun lalu antaranya mengongsikan dunia yang terjejas teruk oleh pencemaran plastik kini bakal menyaksikan kadar penggunaan plastik meningkat hampir tiga kali ganda dalam tempoh kurang daripada empat dekad atau menjelang 2060.

Pengeluaran tahunan plastik ber- asaskan bahan api fosil dijangka melebihi 1.2 bilion tan menjelang 2060 dan sisa buangan pula melebihi satu bilion tan. Walaupun dengan langkah agresif bagi mengurangkan permintaan dan meningkatkan kecekapan, pengeluaran plastik akan mencecah hampir dua kali ganda dalam masa kurang dari 40 tahun, menurut pertubuhan 38 negara itu dalam satu laporan.

Dasar yang diselaraskan secara global sedemikian, walau bagaimanapun, boleh meningkatkan bahagian sisa plastik masa depan yang dikitar semula daripada 12 kepada 40 peratus.

Timbulnya kebimbangan antarabangsa mengenai jumlah dan kewujudan pencemaran plastik di semua tempat serta kesannya.

Meresapi ke kawasan paling terpencil di planet ini, mikroplastik telah ditemui di dalam ikan di ceruk paling dalam lautan di dalam Lautan Artik. Sisa-sisa berkenaan dianggarkan menyebabkan kematian lebih daripada satu juta burung laut dan lebih 100,000 mamalia marin pada setiap tahun.

Tanggungjawab setiap individu

Oleh yang demikian dalam situasi menyaksikan penggunaan plastik di kalangan masyarakat global, apa yang terpenting ialah setiap individu perlu memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing untuk memilih produk hijau dan mampan dan beralih kepada tabiat menggunakan barang guna semula dan mengurangkan penggunaan barang plastik pakai buang atau sekali guna.

Dengan memilih produk-produk seperti itu, ia boleh membantu peralihan kepada ekonomi lebih hijau dan seterusnya menyokong gaya hidup mampan menuju kehidupan yang selari dengan alam semula jadi.

Sehubungan itu bersama-samalah kita mengubah budaya penggunaan bahan-bahan plastik antaranya beg plastik kepada beg serbaguna atau beg kitar semula, straw plastik kepada straw besi atau kertas dan sebagainya demi sama-sama menyahut seruan kerajaan dan juga global untuk mengurangkan pencemaran plastik dari masa

ke masa agar alam sekitar dan kehidupan kita bebas daripada ancaman yang tidak sihat.