Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lestari khazanah pantun Melayu Brunei

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam memperkasa bahasa Melayu menerusi kebudayaan Melayu terus dipergiat dengan mengungkayahkan pelbagai program dan kegiatan yang menjurus kepada penglibatan semua lingkungan masyarakat daripada pelbagai peringkat usia di negara ini.

    Oleh yang demikian, pelaksanaan Pesta Pantun Melayu Brunei (PPMB) merupakan satu lagi projek DBP dalam usaha memangkin dan memacu kesedaran serta penghayatan masyarakat terhadap melestarikan, memelihara dan menyebarluaskan khazanah dan warisan bangsa.

    Pelaksanaan Pesta Pantun Melayu Brunei (PPMB) ini adalah bertitik tolak daripada Projek Penyelidikan Pantun Melayu Brunei Darussalam di Negara Brunei Darussalam yang mula dilaksanakan pada tahun 2016 dan Projek Penyelidikan Penyebarannya di Kepulauan Borneo khususnya di negeri Sabah pada tahun 2018.

    Perkara berkenaan antara yang dikongsikan oleh Pemangku Pengarah DBP, Hajah Haireni binti Haji Awang Damit yang juga selaku pengerusi majlis semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Pelancaran PPMB yang berlangsung di Balai Sarmayuda, DBP, Berakas, baru-baru ini.

    HIMPUNAN LEBIH 12,000 RANGKAP PANTUN

    Jelas Hajah Haireni, pantun-pantun hasil daripada projek-projek penyelidikan berkenaan akhirnya dapat direalisasikan dalam bentuk penerbitan buku pada tahun ini dengan judul yang cukup bermakna iaitu Babatan Pantun Melayu Brunei sehingga berjaya mengumpulkan sebanyak 12,524 rangkap pantun secara keseluruhannya.

    Buku Babatan Pantun Melayu Brunei telah diterbitkan pada tahun ini. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R. & MUIZ MATDANI
    Antara persembahan yang dilakonkan semasa PPMB. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R. & MUIZ MATDANI
    Kegiatan bermukun yang diadakan semasa pesta berkenaan. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R. & MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R. & MUIZ MATDANI

    “Dengan terbitnya buku ini juga menunjukkan satu keberhasilan yang telah dicapai oleh jabatan khususnya dalam menyediakan pantun-pantun tanah air bersumberkan pemantun-pemantun tempatan di keempat-empat buah daerah dan purih-purih Brunei di Kepulauan Borneo,” ujar beliau.

    Beliau turut menambah dengan pelaksanaan PPMB yang menggarisbawahi pelbagai kegiatan berunsurkan seni berpantun ini juga turut diupayakan untuk memasyarakatkan penggunaan dan penerapan pantun dalam kehidupan harian masyarakat termasuklah bagi menarik minat para generasi muda untuk mendalami dan mewarisi seni berpantun.

    GABUNGAN KERJASAMA CETUS KEBERHASILAN

    Dalam pada itu, Hajah Haireni turut mengongsikan keberhasilan projek penyelidikan pantun yang telah dilaksanakan sebelum ini tidak lepas daripada komitmen dan kerjasama daripada penghulu-penghulu, ketua-ketua kampung serta informan-informan pantun yakni penduduk kampung setiap daerah.

    Semua informan berkenaan sentiasa memberikan kerjasama kepada golongan penyelidik DBP dalam menangani, menelusuri, meriki ke kampung-kampung seterusnya menemubual dan mengumpulkan pantun-pantun daripada para pemantun.

    Begitu juga di negeri Sabah, Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) yang sentiasa memberikan kerjasama sehingga golongan penyelidik DBP pada tahun 2018 telah berjaya menghimpunkan lebih daripada 100 buah pantun.

    MUSTAHAKNYA PENGLIBATAN GENERASI MUDA

    Oleh yang demikian, Hajah Haireni turut menaruh harapan tulus agar apa yang akan, sedang dan telah diusahakan serta dikarihi itu akan mampu membuka mata dan minda masyarakat terutamanya para generasi muda di negara kita untuk terus memelihara, memperkasa dan melestarikan pantun dalam apa juga cara.

    Apa yang pasti, manfaat terbesar apabila para generasi muda kita mampu mengambil peluang dan ruang yang disediakan oleh jabatan ini terutamanya dengan melibatkan diri mengikuti kegiatan-kegiatan PPMB.

    “Penglibatan generasi muda ini sangat diharapkan bagi kelangsungan dan keutuhan pantun Melayu Brunei, kerana mereka inilah yang akan bertindak selaku penggerak dan jentera yang menghidupkan, memelihara dan melestarikan pantun Melayu Brunei.

    DEMI MENGANGKAT WARISAN

    Adapun penganjuran PPMB selama dua hari pada 21 dan 22 Mei lalu itu bertujuan sebagai salah satu usaha mengangkat dan memelihara serta mendokumentasi khazanah seni budaya bangsa; di samping sebagai wadah penyebar ilmu pengetahuan kepada masyarakat di Negara Brunei Darussalam serta mengukuhkan lagi usaha pencalonan pantun Melayu Brunei dalam Daftar Representatif dalam Warisan Budaya Tidak Ketara, UNESCO.

    Sepanjang pesta berlangsung, pelbagai kegiatan mengenai pantun diungkayahkan seperti persembahan pantun dalam nyanyian, kuiz memadankan pantun, persembahan bermukun, kahoot pantun, persembahan pantun meminang, Mari Berbalas Pantun, persembahan badundang, kegiatan bahagian-bahagian DBP, pameran dan jualan majlis perundingan kampung (MPK), Cipta Pantun di Sampaian Pantun dan jualan trak makanan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda