Oleh Ak Zaki Kasharan
Penggunaan barangan plastik seperti beg plastik, bekas makanan pakai buang, gelas serta botol minuman plastik sudah sebati dalam kehidupan sehari-hari yang mana menjadi lumrah bagi masyarakat kita menggunakannya disebabkan harganya yang murah dan mudah diperoleh.
Walau bagaimanapun penggunaan plastik yang berlebihan dan tidak dikelola dengan baik juga mencemarkan alam sekitar yang signifikan hingga mencetuskan beberapa impak negatif.
Plastik yang dibuang secara tidak teratur, terutama sampah plastik di darat yang berakhir di saluran air, sungai atau pantai akan mencemari ekosistem laut dan memicu masalah seperti pencemaran mikroplastik yang boleh menjadi fragmen-fragmen kecil yang sulit terhapus dan dapat merosakkan kehidupan laut.
Selain itu, pembuangan plastik di darat juga dapat merosakkan ekosistem darat yang mana sampah plastik dapat menghalang kelancaran aliran sistem saluran dan boleh menyebabkan banjir semasa hujan lebat, serta pada masa yang sama haiwan darat juga terperangkap dalam sampah plastik.
Untuk mengatasi masalah pencemaran plastik, beberapa langkah dapat diambil seperti mengurangkan penggunaan plastik sekali pakai dan beralih kepada alternatif yang lebih mesra alam sekitar seperti kertas atau semula jadi lainnya.
Bermula 17 Mei lalu, penyelarasan dan perubahan kadar-kadar duti import kastam dan eksais telah berkuatkuasa yang menyasarkan beberapa produk tertentu dengan matlamat antaranya untuk mengawal penggunaan barangan tertentu bagi meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini, dan penjimatan tenaga bagi mengurangkan jejak karbon di Negara Brunei Darussalam.
Baru-baru ini tular di media sosial mengenai kenaikan harga barangan plastik dalam kalangan pengguna di mana ada yang menyatakan ia adalah masa yang sesuai bagi masyarakat di negara ini mengurangkan penggunaan plastik dan beralih kepada sesuatu yang boleh digunakan secara berulang kali.
Ia merupakan suatu amalan yang baik yang harus dicontohi oleh orang ramai di luar sana.
Mengeluh atas kenaikan harga barangan bukanlah satu jalan penyelesaian yang bijak sebaliknya kita sepatutnya boleh memikirkan penyelesaian yang terbaik bukan sahaja untuk diri kita sendiri tetapi juga bagi kesejahteraan masyarakat, negara dan alam sekitar.
Beberapa tinjauan dilakukan oleh pihak Media Permata di gerai Pasar Pantai Jerudong dengan menemui beberapa orang penjual ikan, sayur-sayuran dan makanan di kawasan tersebut.
Hajah Amnah binti Haji Abas yang berniaga sejak lebih 20 tahun lalu semasa ditemui mengongsikan pandangannya mengenai kenaikan harga barangan pada masa ini termasuklah harga beg plastik yang mereka gunakan semasa berurus niaga di pasar berkenaan yang amat mereka risaukan.
Walau bagaimanapun jelas Hajah Amnah, mereka tetap mengenakan harga jualan yang sama tanpa menaikkan harga barangan jualan ikan yang dijualnya kerana tidak tergamak bagi menaikkan harga kepada para pelanggan mereka.
Tambahan lagi, beliau mengongsikan bahawa pada masa ini pelanggan yang berkunjung ke pasar berkenaan telah berkurangan dari sebelumnya.
Sekiranya beliau menaikkan harga jualannya maka sudah pasti para pelanggan tidak akan mahu untuk membeli di sana lagi.
Perkara yang sama turut disuarakan oleh seorang lagi penjual di pasar berkenaan yang berniaga sayur-sayuran dan buah-buahan segar, Hajah Nilam binti Aji yang merasakan kenaikan harga beg plastik membebankan para peniaga di sana memandangkan mereka banyak menggunakan beg plastik dalam urusan jual beli mereka.
Namun Hajah Nilam juga menyarankan kepada orang ramai khususnya pelanggan yang membeli dalam kuantiti yang banyak untuk membawa beg kitar semula mereka bagi sama-sama menyahut seruan mengurangkan penggunaan beg plastik pakai buang semata-mata untuk menjaga kesejahteraan alam sekitar.
Tinjauan yang sama turut dijalankan oleh pihak media pada penjual makanan di sekitar Pasar Pantai Jerudong iaitu, Dayang Nurolanizah binti Haji Rosli.
“Kenaikan harga beg plastik telah memberi kesan kepada ramai penjual sekaligus membebankan kami dari segi modal jualan, malah harga bahan lainnya juga turut mengalami peningkatan harga.
“Beberapa pelanggan kami ada yang datang dengan inisiatif yang bijak dengan membawa bekas makanan sendiri untuk mengisi makanan yang mereka beli daripada kami.
“Kami sebagai peniaga kecil amat menyahut baik perkara tersebut yang mana ia juga memudahkan mereka untuk membawa makanan yang dibeli sekali gus boleh mengurangkan penggunaan beg plastik. Secara tidak langsung ia juga dapat memulihara alam sekitar,” jelas Dayang Nurolanizah lagi.
Mendengar kepada keluhan, pandangan serta kebimbangan orang ramai mengenai isu ini, adalah diharapkan agar masyarakat di negara ini dapat mula untuk meningkatkan kesedaran menormalkan penggunaan beg atau bekas makanan kitar semula dalam kehidupan seharian sebagai alternatif kepada plastik sekali guna yang juga boleh mengurangkan jumlah sisa pepejal di Brunei Darussalam.
Peningkatan jumlah sisa pepejal di Negara Brunei Darussalam berdasarkan statistik mendapati pengeluaran sisa pepejal merekodkan 1.4 kilogram per kapita sehari pada tahun 2017 manakala sebanyak 1.14 kilogram per kapita pada 2020.
Meskipun jumlah tersebut dilihat menurun dalam tempoh tiga tahun berkenan tetapi ia masih menjadi isu kerana negara kita masih mencatatkan pengeluaran sisa pepejal per kapita yang tertinggi antara negara-negara ASEAN.