Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JUN – Dalam usaha untuk melestarikan sumber hutan, menghijaukan alam sekitar untuk warisan generasi akan datang dan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai khususnya generasi muda supaya mereka menjadi pewaris masa hadapan yang berwawasan, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) kelmarin telah mengadakan program sempena sambutan memperingati pengisytiharan Hari Menanam PPNBD ke-6 yang berlangsung di Kawasan Projek PPNBD, Km 12, Kampung Sungai Mau, Jalan Labi-Liang, Mukim Bukit Sawat, Daerah Belait.
Hadir pada acara tersebut ialah Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali.
Turut hadir ialah Pengurus Projek Penanaman Pokok PPNBD, Haji Othman bin Durani, pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap, pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap daerah, pemimpin-pemimpin pasukan pengakap, penolong-penolong pemimpin pasukan pengakap dan ahli-ahli pengakap.
Di majlis berkenaan, Haji Awang Badar dalam ucapan alu-aluannya memuji dan menghargai inisiatif dan kesungguhan yang telah dijalankan oleh ahli-ahli pengakap Negara Brunei Darussalam meskipun sambutan pada tahun ini disambut dalam keadaan kewaspadaan akibat penularan wabak pandemik COVID-19 yang sedang melanda di seluruh dunia.
“Kita tetap mematuhi garis panduan bagi sentiasa menjaga kebersihan dan penjarakan sosial seperti mana yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2020/06/page-6-B_02062020.jpg)
“Ianya tidak menghalang kesungguhan ahli-ahli pengakap dalam mendukung perlaksanaan program mengenai pemeliharaan secara berterusan ekosistem sumber hutan serta penghijauan alam sekitar yang sedang dilaksanakan melalui penjagaan tumbuh-tumbuhan atau pokok-pokok tertentu yang masih dipenuhi dengan hutan hijau diliputi dengan flora dan fauna yang berfungsi menjadikan satu ekosistem yang sempurna bagi membekalkan udara segar dan air yang bersih,” jelasnya.
“Ia sekali gus memperlihatkan tanggungjawab dan prihatin terhadap kepentingan mengurus serta memelihara sumber hutan secara lestari untuk faedah sejagat bagi masa kini dan akan datang.”
Beliau menambah bahawa projek itu adalah sangat bertepatan dan selaras dengan hasrat PPNBD untuk sentiasa menyemai nilai-nilai pendidikan dalam gerak kerja kokurikulum khususnya di kalangan ahli-ahli pengakap bagi mencapai beberapa matlamat penting yang telah digariskan antaranya bagi menyemai perasaan muhibah, perpaduan dan integrasi di kalangan generasi muda, peningkatan disiplin penuntut, pengalaman yang menyeluruh dan keseimbangan dengan pendidikan formal.
“Ini dapat meningkatkan imej PPNBD yang sentiasa prihatin dalam mengekalkan usaha penanaman dan penjagaan yang berterusan dan bersistem melalui kaedah ‘Tanam – Pelihara – Pantau – Tanam’ (TPPT) dalam sama-sama mendukung dan memberigakan perlaksanaan aktiviti-aktiviti pemeliharaan secara penghijauan di negara ini,” jelasnya lagi.
Dalam hubungan itu, aktiviti yang telah dijalankan semasa sambutan pada tahun ini ialah menggantikan pokok-pokok yang telah mati dan menanam semula sebanyak 10 batang anak pokok jenis Tulong (‘Agathis Borneensis’) yang telah dibekalkan oleh Jabatan Perhutanan dan seterusnya memberikan baja kepada pokok-pokok yang sedia ada.