Friday, January 24, 2025
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lestarikan pembuatan tembikar warisan Istalif

    ISTALIF – Dua kali sebulan, Noor Agha Faqiri menyalakan tanur api di bengkel kecilnya sekitar 50 kilometer di barat laut ibu kota Afghanistan untuk membakar sekumpulan tembikar baharu.

    Faqiri adalah salah seorang daripada berpuluh-puluh tukang tembikar di Qarya-e-Kulalan (kampung tukang tembikar) di daerah Istalif yang indah, tetapi ramai yang telah menghentikan pengeluaran sejak Taliban kembali berkuasa pada 2021 kerana ekonomi yang tertekan telah menyebabkan jualan merosot.

    Namun, Faqiri berazam untuk meneruskan perniagaan tersebut.

    “Perniagaan yang telah diusahakan oleh ibu bapa, datuk nenek dan moyang awda tidak seharusnya ditinggalkan kerana ia sangat diberkati,” kata lelaki berusia 53 tahun itu kepada AFP semasa lawatan.

    “Anak-anak saya juga membantu menjalankan perniagaan keluarga ini dan mahu mengekalkannya dalam apa jua keadaan serta mengelakkannya daripada gulung tikar.”

    Seorang tukang tembikar menjemur mangkuk tanah liat secara tradisional di Istalif, barat laut wilayah Kabul baru-baru ini. – Gambar AFP
    Seorang vendor menunggu pelanggan di kedainya yang menjual mangkuk tanah liat di pasar di Istalif, barat laut wilayah Kabul pada 3 Julai. – Gambar AFP
    Seorang kanak-kanak membawa mangkuk tanah liat yang sudah dikeringkan di Istalif, barat laut wilayah Kabul pada 3 Julai. – Gambar AFP
    Seorang kanak-kanak membawa mangkuk tanah liat kering di sebuah kilang yang dikendalikan secara tradisional di Istalif, barat laut wilayah Kabul pada 3 Julai. – Gambar AFP
    Pengunjung berjalan melintasi kedai menjual mangkuk tanah liat di Istalif, Kabul baru-baru ini. – Gambar AFP
    Seorang wanita berpakaian burqa berjalan melewati kedai menjual mangkuk tanah liat di sebuah pasar di Istalif, wilayah barat laut Kabul pada 3 Julai. – Gambar AFP

    Afghanistan mempunyai tradisi tembikar berusia beratus-ratus tahun di seluruh negara, namun kualiti ketukangan Istalif paling menonjol.

    Jalan utama Qarya-e-Kulalan dipenuhi dengan kedai tembikar, sekurang-kurangnya separuh daripadanya ditutup kerana kekurangan perniagaan.

    Kampung yang indah

    Namun kedai-kedai yang masih beroperasi mempamerkan pelbagai koleksi jag, periuk, pinggan dan mangkuk yang mempesonakan yang dilapisi dengan kemasan hijau kebiruan, akuamarin dan coklat tanah yang menarik perhatian.

    Kebanyakan pelanggan merupakan pengunjung harian dari Kabul, yang membuat perjalanan selama 90 minit untuk berkelah di bukit atau di sepanjang sungai yang mengelilingi perkampungan yang indah itu.

    Namun, pedagang borong juga kadangkala muncul dengan pesanan yang lebih besar untuk hotel dan rumah tumpangan di seluruh Afghanistan – dan juga ke luar negara.

    “Sebelum ini, orang asing akan datang, dan orang dari wilayah lain akan datang untuk melihat Istalif kerana ia adalah salah satu tempat hijau dan bersejarah untuk pelancongan,” kata tukang tembikar, Abdul Hameed Mehran, 32 tahun.

    Tembikar itu masih dihasilkan dengan cara yang sama seperti beratus-ratus tahun yang lalu.

    Tanah liat dari kawasan pergunungan di sekelilingnya dilemparkan pada roda yang diputar dengan kaki tukang tembikar sambil tangannya bekerja dengan cekap.

    “Pekerjaan yang saya lakukan merupakan satu kebanggaan bagi saya,” katanya.

    “Ia adalah satu sumber kebanggaan bagi saya kerana kami menghasilkan barangan seperti ini di Afghanistan.”

    ‘Kerja inovatif’

    Mehran menghasilkan kira-kira 70 hingga 100 jenis tembikar setiap hari, bergantung pada permintaan, yang kemudian disusun dengan berhati-hati untuk mengeringkan secara semula jadi sebelum dibakar setiap bulan.

    “Saya datang ke sini berulang kali kerana barangan baharu sentiasa dihasilkan dan ia berkualiti,” kata Shah Agha Azimi, 25, seorang pelanggan dari Kabul.

    “Mereka inovatif dalam kerja mereka.”

    Penduduk tempatan mengatakan hanya kira-kira 30 daripada 80 keluarga yang terlibat dalam perniagaan ini masih beroperasi disebabkan oleh kegawatan ekonomi.

    Namun, tradisionalis seperti Faqiri menyambut baik persaingan tersebut.

    “Apabila saya melihat kedai-kedai ditutup, saya berasa sedih. Saya mahu setiap kedai di sebelah saya dibuka dan perniagaan kami bertambah baik dari hari ke hari,” katanya.

    “Kami akan berasa gembira melihat perniagaan ini kekal hidup. Kami berasa dihargai semasa bekerja.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda