Thursday, December 5, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lestarikan penggunaan tudung dulang alami

    Oleh Salawati Haji Yahya

    Tudung saji atau tudung dulang merupakan hasil kraftangan masyarakat Melayu yang pada kebiasaannya dihasilkan daripada pelbagai jenis daun, namun jenis tudung dulang yang biasa digunakan di negara ini antaranya diperbuat daripada daun mengkuang, daun nipah dan daun silat selain itu rotan atau buluh juga digunakan untuk membuat rangka bentuk bulat tudung dulang berkenaan.

    Dahulu kala, pembuatan tudung dulang ini terkenal dalam kalangan penduduk yang tinggal di Kampong Ayer yang mana ia digunakan sebagai alat untuk menutup makanan di samping digunakan dalam acara-acara perkahwinan pada zaman dahulu.

    Walaupun pada zaman dahulu ia pernah digunakan sebagai penghias di meja-meja makan, namun kini penggunaannya sudah jarang dilihat dan jika ada pun harganya pasti mahal dan hanya digunakan sebagai perhiasan dan juga cenderahati.

    Sementara itu, penulis berpeluang menemui beberapa warga emas yang berkongsi pandangan sama ada penggunaan tudung dulang tradisional ini masih relevan digunakan sebagai penutup makanan dan sebagainya.

    Pengiran Haji Ali bin Pengiran Haji Petra, seorang pengunjung di Tamu Kianggeh menjelaskan, penggunaan tudung dulang pada zaman dahulu nampak jauh lebih menarik, lebih-lebih lagi apabila ia digunakan semasa majlis-majlis jamuan makan atau ‘makan bersaprah’.

    Pengiran Haji Ali.
    Peniaga tamu Kianggeh, Hajah Osrah.

    Tudung dulang yang sudah dimodenkan dengan tambahan pemasangan manik dan kain baldu tapi masih mengekalkan penggunaan bahan alami.

    “Ia bertambah menarik dan cantik dilihat dengan pelbagai warna dan corak yang dihiasi dan diwarnakan pada daun-daun berkenaan,” jelasnya.

    Beliau menjelaskan, pada masa ini dengan adanya teknologi dan peralatan yang lebih canggih dan mudah, terdapat banyak variasi tudung dulang, antaranya ada yang diperbuat daripada plastik dan ada juga yang diperbuat daripada jenis kain kasa. Menurutnya lagi hal ini telah menyebabkan kewujudan tudung dulang tradisional semakin kurang menyerlah dan kurang dikenali terutama bagi generasi masa kini.

    Jika dahulu, penggunaannya mudah dilihat dan didapati di mana-mana kerana dulu ia bukan saja dijadikan sebagai alat penutup makanan malah ia juga dijadikan sebagai alat penutup hantaran dalam majlis perkahwinan.

    “Tapi kini untuk mengambil mudah dan mengikut peredaran zaman, ia sudah digantikan dengan menggunakan kain atau pun kotak untuk majlis perkahwinan,” tambahnya.

    Melihat kepada perubahan tersebut, generasi masa kini tidak berpeluang untuk mengetahui dan melihat keunikan yang ada dalam masyarakat Melayu yang dahulunya kaya dengan budaya dan tradisi turun-temurun ini.

    Beliau turut menambah, kini semakin sukar untuk melihat lagi tudung dulang tradisional dijual kerana ia semakin jarang dijual, mungkin disebabkan tidak ada pelapis untuk meneruskan penghasilanya disebabkan mereka yang terlibat dalam anyaman ini kebanyakannya adalah golongan warga emas.

    Manakala temu bual dengan seorang peniaga di tamu berkenaan, Hajah Osrah binti Haji Mohamad, 69 pula mengongsikan apa yang diketahui dan dilihat semasa zaman remaja dahulu mengenai dengan proses anyaman tudung dulang ini.

    Melalui pengalaman yang pernah dilihatnya, tudung dulang dibuat menggunakan dua daun iaitu daun mengkuang dan juga daun silat yang mana bahagian bawah tudung dulang menggunakan daun silat manakala di bahagian atas menggunakan daun mengkuang.

    Menurutnya penggunaan dua daun ini adalah untuk menghasilkan tudung dulang yang mudah dibentuk dan tahan lama yang mana pada kebiasaannya ia akan tahan sehingga empat tahun bergantung kepada penjagaannya.

    Beliau turut menjelaskan faedah menggunakan tudung dulang ini ia bukan saja mampu untuk melindungi hidangan daripada terkena habuk, lalat dan sebagainya tapi ia juga mampu mengekalkan ketahanan hidangan disebabkan bahan yang digunakan adalah bahan alami.

    Pada masa ini, untuk menjadikan ia lebih menarik sesuai mengikut peredaran zaman, beberapa tambahan terhadap tudung dulang dibuat iaitu dengan meletakkan manik-manik dan kain baldu selain menghasilkannya dalam pelbagai saiz sesuai cita rasa orang ramai.

    Jika diberi pilihan, beliau lebih saja memilih untk menggunakan tudung dulang tradisional berbanding dengan tudung dulang masa kini.

    Beliau seterusnya berharap penghasilan tudung dulang ini akan dapat dikekalkan untuk pengetahuan generasi seterusnya selain mendedahkan kepada belia-belia untuk menjadi pelapis kepada penerus warisan orang Melayu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda