Pelakon Indonesia, Rizky Billar dikhabarkan bakal menerima cahaya mata kedua apabila isterinya Lesti Kejora dilaporkan sedang hamil.
Difahamkan usia kandungan isteri pelakon itu sudah pun memasuki 12 minggu.
Berita itu turut diumumkan sendiri oleh pasangan itu sewaktu menghadiri program Dahsyatnya 4 Tahun Perjalanan Cinta Leslar yang disiarkan di stesen televisyen Indonesia baru-baru ini.
“Kita ada satu perkara istimewa yang ingin kita sampaikan untuk saudara Leslar Lovers,” Kata Lesti sewaktu temu bual berlangsung.
Sewaktu program berlangsung, Lesti dilihat memberikan hadiah jam tangan sempena ulang tahun perkahwinan mereka keempat.
Selain itu Lesti turut membuat kejutan istimewa dengan memberikan sebuah kotak yang di dalamnya terdapat alat ujian kehamilan.
“Kamu hamil? Dapat tahu dari mana? Sejak bila?
“Ini berita paling bahagia yang sudah lama kita nantikan ternyata saya dapat hadiah ini… Ya Allah, semoga kehamilan kali ini berjalan lancar, anaknya sihat, amin terima kasih,” kata Rizky Billar.
Memetik laporan mStar, difahamkan Lesti sengaja menyimpan rahsia tersebut kerana mahu memberikan kejutan sempena hari ulang tahun perkahwinan mereka.
Pasangan itu menikah pada 19 Ogos 2021 dan hasil pernikahan tersebut mereka telah dikurniakan anak lelaki bernama Muhammad Levian Al Fatih Billar yang kini berusia setahun. – Agensi